
KERIANGAN serta keterujaan jelas kelihatan pada wajah pasangan ini apabila mereka bakal bergelar ayah dan ibu awal tahun hadapan.
Bersyukur dengan rezeki yang dikurniakan, menurut pasangan juara Peraduan Gerbang Cinta Mega Utusan Malaysiam Musim Ke-2, Mohd. Danial Hasan Basri, 25, dan Nurul Illiyana Nor Zaidi, 25, mereka sememangnya tidak pernah merancang malah tidak sabar untuk menimang cahaya mata secepat mungkin.
Ini kerana, menurut Nurul, suaminya, Mohd. Danial atau lebih mesra disapa Danial sememangnya inginkan sebuah keluarga yang besar.
“Danial inginkan enam orang anak. Jadi kami amat bersyukur kerana tidak perlu menunggu lama untuk dikurniakan cahaya mata.
“Jika diikutkan, doktor menjangkakan saya akan bersalin awal Januari tahun depan. Sudah pasti selain teruja kami turut berdebar untuk bergelar ayah dan ibu buat pertama kali,” ujarnya ketika ditemui di Cheras, baru-baru ini.
Pasangan muda itu nyata bahagia dan serasi bersama apabila masing-masing saling membantu dalam melayari bahtera yang baru berusia setahun jagung.
Memahami bebanan yang ditanggung isteri, Danial tidak pernah meninggalkan isteri tersayang kecuali apabila dipanggil bertugas.
Pasangan itu bernikah pada 26 Mac lalu diikuti dengan majlis persandingan gilang-gemilang pada 3 April lalu di Kampung Pengantin, Kuala Lumpur yang ditaja sepenuhnya selepas menjuarai Peraduan Gerbang Cinta Mega Utusan Malaysia.
Mengimbas kembali saat manis itu, baik Danial mahupun Nurul, menyifatkan ia detik paling indah dalam hidup mereka yang tidak mungkin dilupakan.
Dalam masa yang sama, kedua-duanya amat berterima kasih kepada penganjur dan penaja peraduan yang merealisasikan impian perkahwinan mereka.
Pasangan bertuah itu juga menyifatkan kemenangan mereka dalam peraduan anjuran akhbar Utusan Malaysia melalui sisipan Mega itu adalah rezeki yang datang ketika mereka sedang merancang untuk mendirikan rumah tangga.
“Ketika itu kami memang sudah bertunang. Kemenangan itu telah memudahkan lagi rancangan perkahwinan kami.
“Untuk majlis persandingan tersebut kami hampir tidak mengeluarkan sebarang belanja kerana segalanya ditaja. Daripada makanan, lokasi hinggalah kepada pakaian, pelamin dan cenderahati,” kata Danial.
Katanya, dia turut berterima kasih kepada ibunya, Radziah Melan yang menghantar borang penyertaan hingga membawa kepada kemenangan tersebut.
Bercerita lanjut mengenai kehidupan hari ini, mereka yang semakin serasi tinggal sebumbung mengakui kehidupan berumah tangga pada awalnya terasa agak kekok terutama buat Danial.
Ini kerana menurut anak kelahiran Batu Pahat, Johor itu, kehidupannya boleh dikatakan berubah 100 peratus apabila telah beristeri.
“Dulu bujang, saya hanya menguruskan diri sendiri dan segala-galanya dibuat sendiri.
“Kini apabila telah beristeri sudah pasti aktiviti harian turut berubah. Jika dahulu makan di kedai sebelum balik ke rumah tapi kini balik ke rumah dan makan bersama-sama isteri,” katanya.
Bagi Nurul pula, walaupun kini tanggungjawabnya bertambah, dia terasa seronok malah tidak pernah terasa terbeban.
Dijangkakan bersalin di Hospital An-Nur, Bangi, Nurul bagaimanapun akan menghabiskan waktu pantang di kampung halamannya di Kuala Terengganu.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: