Saturday, November 12, 2011

Jualan album ukuran populariti


SNSD yang kembali dengan album baru dijangka menguasai carta 2012.


BENARKAH hanya artis yang kerap muncul dalam program televisyen boleh dianggap popular?

Bagaimana pula dengan mereka yang jarang muncul tetapi jualan albumnya laris di pasaran?

Soal populariti sebenarnya adalah sesuatu yang subjektif.

Jika diserahkan kepada para peminat untuk menentukannya, pasti ada yang sanggup bertegang urat mempertahankan artis pujaan atau idola masing-masing.

Peminat Super Junior tak mungkin mengakui 2PM lebih popular, begitu juga penyokong Girls Generation (SNSD) akan bermati-matian menafikan populariti Kara mahupun 2NE1 mengatasi artis kesayangan mereka itu.

Walaupun sukar mengukur tahap populariti seseorang artis, namun anggaran boleh dibuat berdasarkan fakta iaitu hasil jualan karya mereka di pasaran.

Kini selain cara tradisional iaitu hasil penjualan album, populariti seseorang artis juga boleh diukur menerusi jumlah muat turun lagu, nada dering atau apa sahaja produk berkaitan dalam pasaran digital.

Di Korea, industri muziknya didominasi oleh artis bertaraf bintang.

Dengan kumpulan idola melebarkan sayap ke luar negara sebagai peneraju sebahagian gelombang Hallyu, pengaruh mereka meluas melampaui sempadan Asia sehingga ke Eropah dan Amerika Selatan.

Jadi untuk mengukur tahap populariti mereka, perbandingan dibuat ke atas hasil jualan album dan digital yang menjadi report card atau kad laporan prestasi seseorang artis.

Reviu ke atas pasaran album dan jualan digital dari Januari hingga Oktober lalu mendapati grup wanita mendominasi carta digital dengan menguasai 61 peratus daripadanya.

Sebaliknya, grup lelaki menguasai penjualan album dengan membolot 10 tangga teratas kecuali tempat kelapan yang berjaya dicuri Kara.

Seperti dijangka, peneraju gelombang Korea iaitu Super Junior, DBSK dan JYJ menduduki tiga tempat teratas.

Di saat kebanyakan peminat grup perempuan hanya menumpukan kepada satu dua lagu popular untuk dimuat turun, peminat grup lelaki menterjemahkan kesetiaan dengan membeli album idola mereka.

Berdasarkan carta jualan album dan digital ini, tak perlulah peminat berbalah tentang siapa artis yang lebih popular.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: