![]() |
| JENNIFER LOPEZ |
Hakikatnya, Jennifer terus sibuk bekerja dan tidak sesekali menjadikan isu perpisahannya dengan Marc Anthony sebagai halangan untuk meneruskan kariernya.
Buktinya, Jennifer kini sibuk dengan tiga filem barunya iaitu What to Expect When You're Expecting, Parker dan filem animasi, Ice Age: Continental Drift yang akan menamatkan penggambaran tidak lama lagi.
Selain akan sibuk dengan tugasnya sebagai juri American Idol musim terbaru tahun depan, dalam diam Jennifer sudah merancang untuk menerbitkan filem terbarunya.
Filem yang diberi judul Where in the World is Carmen Sandiego? bukan hanya akan menyaksikan Jennifer menduduki kerusi penerbit tetapi juga bakal membintangi filem tersebut.
Diadaptasi daripada permainan video dan siri televisyen yang pernah ditayangkan di saluran Disney tidak lama dulu, Jennifer dilihat sebagai calon yang paling tepat untuk membawakan watak detektif bertukar pencuri paling licik itu.
Menerusi filem itu nanti, ia akan menceritakan bagaimana Carmen cuba dijejaki oleh bekas teman seperjuangannya sewaktu menjadi detektif.
"Jalan cerita akan menjadi bertambah menarik menerusi babak dan aksi kejar-mengejar dalam usaha memberkas Carmen. Dalam filem ini juga akan membongkar identiti sebenar Carmen sama ada dia sebenarnya seorang protagonis atau antagonis," jelas satu sumber.
Buat masa ini, tiada tarikh tetap bagi penggambaran filem yang turut diterbitkan oleh Benny Medina, Simon Fields, Nick Osbourne, Trevor Engelson dan Devin Andre itu.

No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: