|
SEBELUM ini penulis hanya mengenali wanita hebat ini melalui berita-berita di media cetak dan elektronik sahaja.
Bingkisan-bingkisan berita yang ditonton mahupun dibaca sudah memadai mencetus rasa kagum penulis dengan pesonanya walaupun tidak pernah bertemu empat mata.
Tidak keterlaluan jika melabelkan wanita ini sebagai sumber inspirasi kaum Hawa kerana penglibatannya secara aktif dalam aktiviti-aktiviti amal, kemasyarakatan dan sukan malah, beliau sendiri menjadi Pengerusi Yayasan Sultanah Bahiyah (YSB) iaitu sebuah organisasi amal di Kedah.
Walaupun berdarah raja, puteri raja pemilik nama Datuk Seri Tunku Puteri Intan Safinaz Tuanku Abdul Halim yang mesra dengan panggilan Tunku Puteri tidak menjadikan status tersebut sebagai tembok pemisah baginya untuk mendekati rakyat dengan caranya yang tersendiri.
Malah, puteri bongsu Sultan Kedah, Sultan Abdul Halim Mu'adzam Shah dan Almarhumah Tuanku Bahiyah Tuanku Abdul Rahman ini aktif bersukan.
Jangan pula terkejut apabila melihat Tunku Puteri menyarung 'uniform' paintball sambil mengangkat senjata kerana beliau gemar bermain paintball yang merupakan salah satu cabang sukan ekstrem kegilaan remaja.
"Saya menyukai dan tertarik dengan sukan paintball ini kerana adrenalinnya. Inilah sukan ekstrem yang saya mampu main.
"Jika mahu menyertai sukan ekstrem seperti motorcross sudah terlambat apatah lagi sukan BMX, tetapi sesiapa sahaja boleh bermain sukan paintball," katanya ketika ditemui pada sidang media mengenai World Cup Asia Langkawi 2011 (WCA 2011) yang bermula semalam hingga 13 November ini.
Walaupun sibuk dengan jadual yang padat, meluangkan masa bermain paintball sekali dalam seminggu sudah mampu membuatnya gembira.
"Apa yang menariknya, apabila kita masuk padang paintball, semua pemain adalah sama tidak kiralah umur pemain itu 15 tahun atau 30 tahun, lelaki mahupun perempuan. Ada elemen kesamarataan di situ.
![]() |
| SELAIN banyak terlibat dengan aktiviti amal, Tunku Puteri juga mempunyai cara tersendiri untuk mengisi masa senggang iaitu dengan bermain paintball. |
"Ia adalah satu sukan yang membolehkan kita bertanding bersama kaum lelaki atau remaja dan permainan ini punya cabarannya tersendiri," ujarnya yang merupakan Pro-Canselor kepada dua buah universiti iaitu Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM).
Cedera dan lebam
Tambahnya, saat memasuki padang semuanya sama. Ia adalah satu permainan yang adil.
"Malah, ada pihak lawan pernah tanya pada pengadil sama ada mereka boleh menembak Tunku Puteri atau tidak? Sudah tentu mereka boleh tembak saya, asalkan tidak melanggar peraturan permainan.
"Saya gembira dapat bermain paintball dengan remaja. Mereka sangat bagus dalam sukan ini dan jika bakat mereka digilap dengan betul, mereka boleh pergi jauh lagi," katanya sambil memberitahu dirinya turut mengalami kecederaan dan lebam-lebam akibat bermain paintball yang mengambil masa berminggu-minggu untuk hilang.
Baginya, kecederaan adalah sebahagian daripada sesuatu sukan. Ia bukan bercanggah dengan peraturan permainan. Kecederaan berlaku dalam semua jenis sukan baik skuasy, tenis mahupun sukan lain.
Selain paintball, sukan yang diminati Tunku Puteri ialah golf. Sukan adalah sesuatu yang sebati dalam dirinya kerana Tunku Puteri mula bersukan sejak mula berjalan lagi.
"Kedua-dua ibu bapa saya bermain dan meminati golf. Mereka menggalakkan saya melibatkan diri dalam pelbagai bidang dan mencuba semua benda. Saya sendiri suka bermain badminton, tenis dan golf.
"Jadi, saya percaya sukan ini penting buat semua remaja terutamanya remaja perempuan kerana ia memberikan keyakinan diri," ujarnya.
Katanya, dengan kemudahan yang sedia ada yang dibina oleh kerajaan dan badan-badan korporat, banyak peluang telah diberikan untuk wanita melibatkan diri dalam sukan ini lebih awal.

Beliau bangga kerana kini wanita banyak melibatkan diri dalam sukan yang didominasi oleh lelaki seperti boling padang, takraw, angkat berat dan berbasikal.
"Jadi saya harap paintball akan jadi sukan seterusnya yang didominasi wanita. Untuk itu, kita memerlukan jangka masa 10 tahun kerana ia melibatkan pelan jangka masa panjang.
"Kita tidak boleh lahirkan juara dalam masa sehari. Kita perlu letakkan masa, tenaga dan wang ringgit untuk mempromosikan sukan ini di seluruh negara," katanya.
Walaupun sukan paintball adalah sukan yang agak baharu di Malaysia, Tunku Puteri memberitahu, bahawa sesetengah pihak perlu membuka minda supaya dapat melihat peluang dan potensi remaja Malaysia yang boleh diketengahkan di peringkat antarabangsa seperti sukan skuasy, perahu layar, memanah, menembak dan futsal.
Kejayaan Tunku Puteri
Dari sudut pandangannya, Malaysia mempunyai potensi besar dalam sukan paintball kerana sukan itu lebih melibatkan kepantasan, semangat berpasukan, kerjasama dan kepantasan dalam membuat keputusan bukan bergantung sepenuhnya kepada kekuatan fizikal.
Ditanya sama ada wujud rancangan untuk menaikkan sukan paintball di Malaysia, Tunku Puteri memberitahu, buat masa ini YSB akan mengadakan Siri Paintball Liga Utara yang akan berlangsung selepas WCA yang bermula Disember ini sehingga Jun 2012 melibatkan Kedah, Perlis dan Pulau Pinang.
Liga tersebut terbuka kepada belia di utara tanah air sekitar umur 18 hingga 40 tahun.
Ditebak soalan mengenai pencapaian terbesarnya dalam hidup, Tunku Puteri memberitahu, beliau berbangga menerajui YSB dan memandu yayasan itu ke arah yang positif dalam setiap aktiviti yang dijalankan.

Menyorot pencapaian peribadi beliau, baru-baru ini Tunku Puteri turut dianugerahkan Beret Merun dan Sayap Penerjunan Kehormat 10 Briged Para. Ia adalah penghargaan yang amat bererti dan bersejarah dalam hidupnya.
"Saya menyertai Askar Wataniah (AW) sejak lima tahun lalu dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) mempunyai visi dan misi mereka sendiri. Salah satunya ialah memberi peluang kepada kaum wanita untuk mengambil bahagian dalam ATM.
"Jadi, sebagai warga AW, saya dilantik sebagai Komander Rejimen di Kedah iaitu Rejimen 513 AW dan saya sangat gembira kerana saya wanita pertama yang diberikan penghargaan mengetuai rejimen selain menjadi wanita pertama yang layak memakai beret tersebut," ujarnya.

No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: