Sunday, November 20, 2011

Jagoan wusyu tuai emas sulung


LEE YANG (kanan) dan Shin Yii menunjukkan pingat emas dan perak yang dimenangi di Pusat Tenis Tertutup Senayan, Jakarta semalam.


JAKARTA - Skuad wusyu negara mula menuai pingat emas pada temasya Sukan SEA 2011.

Selepas hanya menyumbang satu pingat perak dan satu gangsa pada hari pertama acara itu berlangsung di Pusat Tenis Tertutup Senayan kelmarin, barisan atlet wusyu negara mula tampak memberi cabaran khususnya kepada atlet tuan rumah semalam.

Lee Yang menceriakan kem wusyu negara apabila menyumbang pingat emas dalam kategori Taijiquan dan Taijijian lelaki dengan catatan keseluruhan 19.41 mata.

Atlet kelahiran Taiping, Perak itu yang diletakkan sebagai prospek terbaik bagi menghadiahkan emas pada temasya kali ini tidak menghadapi masalah untuk mengetepikan lima lagi pencabarnya dalam kategori tersebut.

Begitupun, rakan sepasukan Lee Yang, Loh Jack Chang gagal berada dalam kelompok tiga terbaik apabila hanya mampu berada di tempat keempat (19.20 mata).

Pingat perak dimenangi atlet Filipina, Daniel Parantac yang merekodkan 19.22 mata, manakala gangsa dirangkul atlet Vietnam, Nguyen Thanh Tung (19.21).

"Saya amat gembira kerana akhirnya dapat menyumbang pingat emas buat Malaysia pada temasya ini. Ini adalah kejayaan yang cukup bermakna bagi diri saya.

"Di kesempatan ini, saya mahu mengucapkan terima kasih kepada Majlis Sukan Negara (MSN), Persekutuan Wusyu Malaysia, jurulatih serta ahli keluarga saya yang banyak memberi sokongan kepada saya.

"Bagi saya, kejayaan ini tidak mampu dicapai sekiranya saya tidak mendapat peluang dan sokongan daripada mereka," jelas Lee Yang kepada Kosmo! semalam.

Tampil buat kali keempat di pentas Sukan SEA sejak edisi 2005 di Manila, Filipina, Lee Yang ternyata berpuas hati dengan kejayaannya itu selepas kecundang dalam tiga temasya terdahulu.

"Sebenarnya, saya tidak melihat lawan saya sebagai pencabar tetapi lawan sebenar saya ialah diri sendiri. Saya telah menetapkan sasaran sejak awal lagi.

"Ketika turun di gelanggang, saya cuba memberikan aksi terbaik untuk memikat pihak juri dan ternyata saya telah membuktikan kemampuan sebenar untuk meraih emas," kata Lee Yang.

Sementara itu, Ng Shin Yii gagal mengikut jejak Lee Yang apabila sekadar meraih pingat perak dalam kategori Taijijian dan Taijiquan wanita.

Selepas menamatkan dua kategori tersebut, Shin Yii mengumpul 19.41 mata. Pingat emas dimenangi atlet Indonesia, Lindswell (19.47) dan gangsa milik atlet Singapura, Wee Ling En Valerie (19.36).

Seorang lagi atlet wanita negara, Kimberley Goh Yuen Yuen menamatkan saingan di tempat keenam daripada lapan peserta yang bertanding apabila mengumpul 18.89 mata.

Bagi kategori Changquan lelaki, Ong Shi Chuan turut gagal menyumbang pingat apabila menduduki tempat keempat.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: