Tuesday, November 22, 2011

IJN bimbing urus diabetes


Pesakit dibenarkan menikmati makan tengah hari di dalam hidangan buffet yang disediakan sempena Kempen Makan dan Uji di Institut Jantung Negara.


SETIAP pesakit diabetes perlu menjaga kawalan gula dalam darah kerana ia menentukan paras kesihatan masing-masing.

Sehubungan itu, setiap pesakit perlu memahami dengan jelas setiap makanan yang telah diambil.

Ini penting supaya setiap apa yang dimakan tidak akan meningkatkan paras gula dalam darah atau terlalu rendah kerana ia akan memberikan kesan tidak baik terhadap pesakit diabetes.

Berikutan itu, Institut Jantung Negara (IJN) telah berkerjasama dengan Novo Nordisk Pharma (Malaysia) Sdn. Bhd. dan Johnson & Johnson menganjurkan Kempen Makan dan Uji sebagai cara untuk mengawal penyakit diabetes baru-baru ini.

Kira-kira 50 pesakit diabetes telah menghadiri majlis yang pertama kali dianjurkan oleh IJN.

Penasihat Diabetes IJN, Siah Guan Jian memberitahu, IJN mengambil pendekatan berbeza dalam mendidik pesakit diabetes kali ini supaya mereka tidak dibebankan dengan ceramah sepanjang masa.

''Cara ini memberi peluang kepada pesakit untuk menjaga sendiri pemakanan di samping tidak melupakan ubat yang telah ditetapkan untuk diambil setiap hari,'' katanya.

Katanya, setiap pesakit yang mendaftar akan melalui ujian darah untuk mengukur kandungan gula dalam darah masing-masing.

Selepas itu pesakit dibenarkan menikmati makan tengah hari yang disediakan.

''Kita memberikan peluang pesakit ini untuk makan dengan sepuas-puasnya,'' katanya.

Bagaimanapun katanya, selepas itu semua pesakit akan menjalani ujian gula dalam darah masing-masing.

Beliau memberitahu, semua pesakit tersebut akan melihat sendiri perbandingan kandungan gula masing-masing pada sebelum dan selepas makan di dalam bengkel.

Daripada situ, katanya, pesakit akan dapat menilai sendiri mana makanan yang sesuai dengan diri mereka supaya kandungan gula stabil.

''Sebelum itu pesakit juga telah digalakkan memberikan anggaran paras gula yang mereka jangkakan selepas mereka makan,'' katanya.

Beliau memberitahu, secara tidak langsung latihan amali untuk pengambilan makanan yang sepatutnya kepada pesakit kencing manis seperti yang dianjurkan itu lebih menarik dan tidak membosankan.

Tambahnya, kaedah itu lebih memberi peluang kepada pesakit untuk menjalankan uji kaji pada diri sendiri supaya dapat mengawal pemakanan agar kandungan gula sentiasa stabil.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: