nurul

MUAR – Seorang ibu runsing memikirkan nasib anak gadisnya yang menghilangkan diri dari rumah sejak hampir dua bulan lalu.

Zainah Kasmadi, 57, berkata, kehilangan anaknya, Nurul Suhada, 25, disedari sebaik dia pulang mendengar ceramah agama di surau berhampiran.

“Pada hari kejadian iaitu 6 Oktober lalu, saya seperti biasa akan mengajak Nurul pergi bersama ke surau mendengar ceramah agama.

“Namun, Nurul memberikan alasan dan menyuruh saya pergi dahulu dan dia akan menyusul kemudian,” katanya kepada Sinar Harian.

Menurutnya, bagaimanapun, Nurul tidak pergi ke surau seperti yang dijanjikan dan selesai mendengar ceramah dia segera pulang ke rumah.

“Setiba di rumah, saya memanggil Nurul tetapi tidak disahut dan mencarinya dalam bilik tetapi tiada.

“Saya berasa tidak sedap hati, lantas memeriksa almari pakaian dan terkejut mendapati sebahagian pakaiannya turut dibawa bersama,” katanya.

Zainah berkata, pada mulanya, dia menyangka Nurul pergi ke rumah kawannya, tetapi selepas menunggu sehingga dua hari, dia masih tidak pulang ke rumah dan tidak menghubungi keluarga, berikutan itu Zainah membuat laporan di Balai Polis Parit Jawa.

Katanya, sebelum ini Nurul mengikuti kursus jahitan di Kuala Lumpur, tetapi dia tidak mahu meneruskan kursus itu dan mendorong keluarga membawanya pulang ke kampung di Sungai Pulai.

Menurutnya, sepanjang berada di rumah, Nurul tidak menunjukkan sebarang kelakuan aneh dan ringan tulang membantu Zainah terutamanya menyiapkan tempahan baju.

Zainah berkata, dia tidak mengesyaki kehilangan anaknya itu dikaitkan dengan sesiapa kerana Nurul tidak mempunyai teman lelaki juga musuh.

“Saya sangat kesal dengan tindakan Nurul yang meninggalkan keluarga secara tiba-tiba tanpa sebarang pesanan.

“Sepanjang tinggal bersama tiada sebarang konflik berlaku antara Nurul dengan keluarga,” katanya.

Katanya, pelbagai usaha telah dilakukan dengan menemui rakan rapatnya termasuk mencari di rumah sewa lamanya di Kuala Lumpur, tetapi menemui jalan buntu.

Zainah berkata, dia sudah beberapa kali cuba menghubungi Nurul tetapi tidak berjaya, malah panggilannya juga tidak pernah dijawab.

“Saya sangat bimbang dengan keselamatan dirinya, lebih-lebih lagi apabila di dada akhbar dan kaca televisyen sering memaparkan berita buruk berkaitan gadis hilang dari rumah.

“Saya berharap tiada sebarang kejadian buruk menimpa Nurul dan segera menghubungi keluarga.

“Jika dia sudah tidak mahu lagi tinggal bersama keluarga, setidak-tidaknya hubungilah kami dan memaklumkan mengenai dirinya dan di mana dia berada,” katanya.

Orang ramai yang berjumpa atau mempunyai maklumat berkaitan Nurul Suhada diminta menghubungi talian 010-533 1118 atau balai polis berhampiran.