Industri hiburan bagai tidak pernah sunyi daripada mendengar nama Neelofa. Bukan sahaja kerana bakatnya, bahkan Neelofa atau mesra disapa Lofa kerap dikaitkan dengan pasangan dalam filem lakonannya.
Jika sebelum ini, Lofa dikatakan menjadi orang ketiga dalam hubungan Shahz Jaszle dan Maria Farida.
Kini, Lofa dikaitkan pula menjalinkan hubungan cinta dengan heronya dalam filem Lemak Kampung Santan, iaitu Hans Isaac.
Peluang untuk bertemu dengan Hans baru-baru ini, sejurus tamat pratonton filem Misteri Jalan Lama, membuka peluang buat media untuk mendapat penjelasan sebenar daripada Hans.
Tidak terlalu berselindung dan sesekali cuba bercakap dalam dialek Kelantan, Hans mengakui sedang mengenali hati budi Lofa.
“Apa yang boleh saya katakan, kami memang berkawan dan sedang mengenali hati budi masing-masing. Setakat ini, itu saja yang saya boleh kongsi dengan semua. Saya tak nak cakap lebih-lebih sebab saya mahu fokus kepada karier.
“Bagaimanapun, jika ada apa-apa, saya akan beritahu. Saya tak akan menyembunyikan apa-apa. Bagi saya, kalau hubungan kami berjalan dengan lancar, baguslah,” ujarnya.
Bukan publisiti murahan
Namun, tatkala diajukan mengenai hubungan yang sengaja digembar-gemburkan untuk mempromosikan filem terbarunya itu, Hans berkata, dia tidak berniat untuk mencari publisiti murahan, sebaliknya hanya mahu berkawan dengan Lofa.
"Saya rasa, menggembar-gemburkan kami bercinta bagi tujuan mempromosikan filem adalah taktik tahun 1980-an dahulu. Dalam soal kerja, saya sangat profesional. Jika Lofa buat kesalahan, saya akan tegur atau marah. Tetapi dalam soal perhubungan, saya selesa berkawan dengannya.
"Jika ada masa terluang, kami ada berhubung dan bertanya khabar. Tetapi setakat itu sahaja, soal cintan-cintun, jika ada, adalah. Saya tidak mahu bercakap lebih-lebih," katanya yang turut mengakui kembali single selepas putus cinta dengan seorang model dari Brazil.
Menyentuh mengenai karier seninya kerana sejak kebelakangan ini jarang muncul dengan filem mahupun drama baru, Hans mengakui semakin selektif bagi memastikan dia hadir dengan profil karier yang lebih baik.
"Sebelum ini saya akan menerima tawaran yang datang, tetapi semakin lama dalam industri, saya mula untuk memilih naskhah yang baik.
"Bukan bersikap demand, tetapi saya tidak mahu kelihatan stereotaip dan membuatkan penonton bosan dengan lakonan saya.
"Bagi saya populariti sudah tidak penting. Yang lebih penting adalah kepuasan dan setiap kali saya hadir dengan projek baru, peminat berpuas hati malah saya juga berpuas hati dengan karier saya," katanya.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: