“Ini adalah fitnah. Saya tidak akan berdiam diri dan akan saman laman gosip itu. Apa yang dilaporkan sangat keterlaluan dan menjatuhkan nama baik saya, serta merosakkan rumah tangga saya,” kata Fauzi Nawawi berhubung gosip panas yang dipaparkan oleh sebuah portal hiburan semalam.
Menerusi portal itu, Fauzi dikatakan mempunyai skandal dengan seorang wanita. Laporan itu turut disertai lima keping paparan mesej Blackberry Messenger (BBM), sebagai bukti dakwaan itu benar.
Paparan mesej BBM yang disiarkan itu, menunjukkan perbualan antara Fauzi dengan seseorang yang dipercayai kekasih gelapnya. Perbualan itu menunjukkan, Fauzi kecewa dengan isterinya, Lisdawati, kerana kurang memberikan perhatian kepadanya. Malah dia juga turut meluahkan hasrat ingin berkahwin lagi.
Menafikan dakwaan itu sekeras-kerasnya, Fauzi, menyangkal kesahihan paparan mesej itu, kerana katanya, sesiapa saja boleh menyamar dan menggunakan gambarnya. Tegas Fauzi, hubungannya dengan Lisda masih baik dan tidak pernah terlintas di fikirannya untuk berkahwin lagi.
“Saya serahkan kepada peguam. Saya akan tegakkan kebenaran,” kata Fauzi yang benar-benar terkilan dengan gosip itu.
Sementara Lisda berkata, dia sentiasa menyokong suaminya. Apa yang berlaku sangat keterlaluan dan mengganggu keharmonian rumah tangga mereka.
“Ini bukanlah kali pertama berlaku kepada kami. Cukup-cukuplah. Jika benar, tampilah bertemu saya,” katanya.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: