KENAL...Fathullah mengadakan sesi pengenalan kepada peserta yang hadir.
TUNJUK...peserta menunjukkan bakat menghasilkan lukisan.
FUNGSI seni boleh dilihat dalam pelbagai sudut. Ia banyak dipraktikkan melalui pekerjaan seharian kita, di rumah mahupun di mana saja tanpa mengira tempat.
Melalui seni kita boleh menghilangkan tekanan dan melatih minda berfikir lebih kreatif berbanding sebelum ini.
Melukis juga dapat memberi keseimbangan kepada otak iaitu dari segi penggunaan otak kiri dan kanan. Bagi pelajar sekolah, mereka menggunakan lebih banyak otak kiri. Ini kerana otak kiri banyak dikaitkan dengan fungsi akademik yang terdiri daripada kemampuan bercakap, berbahasa, membaca tulisan, logik, angka dan analisis yang biasanya dikaitkan dengan kecerdasan intelek.
Sementara itu, otak kanan tempat untuk perkembangan hal bersifat artistik, kreatif, emosi, muzik, imaginasi, warna dan pengembangan keperibadian.
Bagaimanapun, untuk mencapai kualiti kehidupan lebih baik dan meningkatkan kemampuan potensi diri secara optimum, penggunaan kedua-dua hemisfera otak sangat penting.
Seiring dengan pencapaian cemerlang dalam bidang akademik, kanak-kanak juga berhak mendapat latihan bagi memberi keseimbangan terhadap penggunaan fungsi otak untuk mencapai potensi diri dalam kehidupan mereka.
Oleh itu, seni dilihat antara wadah terbaik kerana ia dapat menggunakan otak kanan selain mengurangkan tekanan yang dihadapi oleh kanak-kanak.
Bagi suri rumah, Linda Kong, dia menganggap anak-anaknya berhak mendapatkan latihan seni seperti muzik dan lukisan bagi memberi keseimbangan terhadap pelajaran dan hobi mereka.
“Keseimbangan dalam hidup mereka sangat penting supaya anak-anak tidak menghadapi tekanan untuk mengejar kecemerlangan dalam bidang akademik saja malah kesejahteraan emosi juga harus dijaga.
“Anak-anak dihantar untuk mempelajari muzik dan seni lukisan di luar waktu sekolah untuk kebaikan tumbesaran otak mereka.
“Bukan seni saja, mereka turut terbabit dalam aktiviti sukan seperti gimnastik bagi melengkapkan lagi perjalanan hidup mereka yang tidak hanya tertumpu pada pelajaran di sekolah semata-mata,” katanya ketika ditemui semasa hari pendaftaran bengkel lukisan kanak-kanak di Balai Seni Visual Negara pada 5 November lalu.
Kata Linda, usaha untuk menghantar anaknya mengikuti bengkel lukisan anjuran Nyala Mataminda Arts dan Inkspire Communications dengan kerjasama Balai Seni Visual Negara dilihat sebagai langkah yang baik untuk memberikan pendedahan kepada anak-anaknya.
Katanya, Jeydon Leong, 7, dan Jesper, 5, mendapat bimbingan daripada artis berpengalaman dalam suasana latihan yang bersesuaian dengan bengkel lukisan itu.
“Ia juga sebagai satu permulaan kepada anak-anak memahami makna dan gaya lukisan yang sebenarnya di samping memberi mereka peluang untuk mendapatkan lebih ramai kawan baru,” katanya.
Sementara itu, Rina Sariffudin, ibu kepada peserta Adam Redza, 9, dan Sara Alyssa, 6, juga tidak melepaskan peluang menghantar anak-anaknya menyertai bengkel yang diadakan.
“Ia adalah satu aktiviti yang baik untuk anak-anak supaya mereka tidak hanya membuang masa di rumah tanpa melakukan sesuatu yang berfaedah.
“Dengan mengikuti bengkel ini, sekurang-kurangnya anak-anak ada sesuatu yang dipelajari pada hujung minggu selain mengasah bakat dan minat yang ada.
“Bukan itu saja, penyertaan dalam bengkel ini juga dapat membantu anak-anak mengurangkan tekanan pelajaran mereka.
“Masa dan tempat yang sesuai serta selesa membuatkan saya yakin menghantar anak menyertai bengkel ini,” katanya yang memiliki ahli keluarga terbabit dengan dunia seni selain suami yang gemar mengumpul lukisan.
Bagi artis profesional yang juga ketua pengajar pada bengkel lukisan terbabit, Fathullah Luqman Yusoff berkata, menggilap bakat dan minat terhadap seni harus dilakukan sejak kecil lagi.
“Potensi mereka dapat dilihat melalui bakat dan hasil yang ditunjukkan oleh kanak-kanak sejak sekolah rendah lagi.
“Ia harus digilap dengan lebih baik apabila mereka memasuki alam persekolahan peringkat menengah agar bakat yang dimiliki tidak disia-siakan,” katanya.
Selain itu, walaupun baru berpengalaman menganjurkan bengkel lukisan untuk kanak-kanak, Fathullah akan menunjukkan sepenuh perhatian dalam memberi tunjuk ajar kepada mereka bagi memantapkan lagi idea dan hasil yang ditampilkan.
“Bengkel ini akan menjalankan latihan praktikal sehingga 80 peratus dan teori hanya 20 peratus bagi mengajak kanak-kanak ini merasai keseronokan menyertainya serta tidak merasai seperti sesi pembelajaran di sekolah.
“Bukan itu saja, kesabaran harus ada kerana cabaran tersendiri akan dilalui memandangkan usia mereka yang masih kecil dan kita tidak boleh memaksa kanak-kanak berumur bawah tujuh tahun untuk menghasilkan lukisan mengikut apa yang kami kehendaki.
“Kami harus bertanya mereka dulu dan biasanya kanak-kanak ini yang akan mengajar pengajar apa yang ingin dihasilkan.
“Berbeza dengan kanak-kanak berusia tujuh tahun ke atas kerana mereka boleh diajar mengenai perkara yang harus dilakukan bagi menghasilkan lukisan yang terbaik,” katanya.
Bengkel lukisan itu dijalankan selama tiga bulan bermula 5 November lalu.
Melaluinya, peserta terpilih dan berjaya menamatkan latihan selama tiga bulan akan berpeluang mengalami pengalaman mengadakan mini pameran lukisan di Balai Seni Visual Negara.
Kata Fathullah, tempat digunakan juga bersesuaian dengan bengkel kerana dapat memberi pendedahan awal dan idea kepada kanak-kanak terhadap seni lukisan yang dilihat.
Di samping itu, ibu bapa juga dapat melihat secara dekat keindahan lebih 4,000 hasil seni dipamerkan di situ bagi memahami daya kreatif yang ditampilkan artis profesional.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: