Debaran semakin dirasai apabila Festival Filem Malaysia Ke-24 (FFM 24) melewati kemuncaknya pada malam ini. Setelah mencetuskan kontroversi menerusi kemenangan Jurey sebagai Pengarah Harapan bagi Anugerah Cipta, Rabu lalu, kemuncak FFM24 pastinya diharap dapat berjalan dengan jayanya.
Tentunya, pelbagai teka-teki dan spekulasi tentang siapakah yang bakal merangkul kemenangan dalam dua kategori yang cukup penting dalam FFM iaitu Pengarah dan Filem Terbaik, menjadi perhatian utama.
Malah pencalonan bagi kategori Pengarah Terbaik memperlihatkan kehebatan mereka mengarahkan filem dari genre berbeza.
Mereka yang tersenarai tahun ini termasuk Yusry Abdul Halim menerusi filem Hikayat Merong Mahawangsa, Syamsul Yusof (KL Gangster), Ahmad Idham (Senjakala), Mamat Khalid (Hantu Kak Limah Balik Rumah), dan Osman Ali (Cun!).
Daripada lima calon ini, hanya Mamat dan Syamsul sahaja yang pernah dijulang dengan gelaran ini pada 2008 dan 2010.
Sementara itu, Ahmad Idham pula pernah dinobatkan sebagai Pengarah Harapan FFM 16 menerusi filem Mr Cinderella, namun rezeki masih belum berpihak kepadanya walaupun sudah empat kali dicalonkan.
Jadi, siapakah yang bakal menyerlah kali ini dan sekali gus menempatkan diri sebaris dengan pengarah handalan negara yang pernah memenangi kategori ini?
Mungkinkah rezeki akan berpihak kepada Syamsul sekali lagi, lantaran filem KL Gangster merupakan antara hasil karya terbaiknya sehingga mampu mencatatkan kutipan tiket hampir RM12 juta.
Namun, kehebatan Hikayat Merong Mahawangsa arahan Yusry juga tidak boleh dipandang enteng. Filem tersebut boleh dikategorikan sebagai filem dengan nafas baru.
Malah filem Hikayat Merong Mahawangsa bukan sahaja mendapat perhatian dalam kalangan peminat industri tempatan, bahkan luar negara.
Bagi Mamat Khalid, FFM kali ini tentunya melihatkan pertembungan sekali lagi dengan pencabar terdekatnya, Syamsul. Setelah tewas kepada Syamsul tahun lalu, Mamat tentunya meletak harapan besar untuk melihat filemnya, Hantu Kak Limah Balik Rumah (HKLBR) membawa pulang trofi kali ini.
Malah, sambutan dan fenomena yang menggalakkan daripada penonton terhadap HKLBR memberi harapan buat Mamat untuk membawa pulang trofi kali ini.
Bagaimanapun, kemampuan Osman Ali menerusi filem Cun! juga wajar diberi perhatian. Selepas membawa pulang trofi Filem dan Pengarah Terbaik pada Anugerah Skrin 2011 lalu, tidak mustahil Osman akan mengulangi kejayaan yang sama.
Pencalonan Ahmad Idham juga bakal menjadi saingan kepada empat calon lain. Naskhah Senjakala boleh dianggap berlainan meskipun Ahmad Idham biasa dengan karya bergenre seram. Namun gabungan mantap Zahiril dan Liyana banyak mencantikkan filem tersebut.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: