Saturday, November 19, 2011

Fedtri kembangkan bahasa Arab dalam lirik


DI studio rakaman bersama Noraniza Idris sewaktu rakaman album penyanyi itu.


Fedtri misalnya, telah mencipta lebih 50 buah lirik lagu yang dinyanyikan oleh ramai penyanyi terkenal tanah air seperti Noraniza Idris, Hijjaz dan Saujana. Selain irama tradisional, selebriti berusia 30 tahun ini juga cenderung menghasilkan lirik lagu-lagu nasyid yang bertemakan ketuhanan.

Antara lirik lagu nasyid tulisannya berjudul Pahlawan Gaza nyanyian kumpulan nasyid Saujana yang dipertandingkan pada Anugerah Industri Muzik Malaysia ke-18 dalam senarai Top 5 kategori Nasyid baru-baru ini. Itu adalah antara pencapaiannya yang boleh dibanggakan.

Menurut anak kelapan daripada sembilan beradik ini, minatnya menulis lirik terutamanya bertemakan keislaman dan ketuhanan sudah mula berputik sewaktu di zaman persekolahannya. Malah, selepas tamat belajar dia berjaya mengembangkan minat dan bakatnya itu.

"Selepas tamat belajar dan bekerja di TV3, saya mendapat banyak peluang mengetengahkan bakat menulis lirik lagu. Minat itu saya pupuk sewaktu saya bersekolah di Sekolah Menengah Sains Kuala Selangor dan semasa melanjutkan pengajian di Universiti Sains Malaysia, Pulau Pinang.

"Ini kerana, sewaktu belajar dulu mata pelajaran Agama Islam adalah subjek yang saya paling minati. Daripada minat dan kecenderungan itulah, saya mendapat banyak ilham untuk mencipta lirik-lirik lagu yang bertemakan keislaman atau ketuhanan," katanya kepada S3 dalam satu pertemuan baru-baru ini.

Selain menyampaikan mesej-mesej yang murni di sebalik lirik-lirik lagu tulisannya, Fedtri yang telah lapan tahun bersama MHI juga banyak menggunakan kesempatan memperkembangkan lagi penggunaan bahasa Arab menerusi karya-karyanya itu.

Jelas selebriti yang mendirikan rumah tangga dengan pasangannya, Nurul Anati Ismail, 26, pada 28 Mei lalu itu, dia berharap pendekatan itu bukan sahaja akan mempopularkan bahasa Arab tetapi juga memperkayakan lagi perbendaharaan kata dalam bahasa Melayu.

"Kita kena ingat bahawa bahasa Arab itu adalah bahasa al-Quran. Tentunya banyak manfaat kalau kita lebih biasa dengan bahasa Arab. Sebab itu, saya banyak menyelitkan bahasa Arab dalam lirik ciptaan saya. Misalnya perkataan ibrah yang bermaksud pengajaran.

"Selama ini pun kita sedikit demi sedikit memasukkan bahasa Arab dalam bahasa Melayu, contohnya perkataan khalwat yang bermaksud menyendiri. Cuma ia diterjemahkan dalam makna yang lain di mana kalau sebut khalwat orang akan kaitkan pula dengan aktiviti maksiat.

"Sebab itu, lirik-lirik lagu yang berteraskan ketuhanan dan menggunakan bahasa Arab mampu untuk membiasakan para pendengar dengan bahasa daripada al-Quran itu. Kata orang sambil berhibur kita akan dapat mempelajari sesuatu daripada lirik lagu tersebut," tuturnya.

Pengacara yang petah dan bijak berbicara ini ternyata memperlihatkan kecenderungannya bukan setakat dalam penulisan lirik-lirik lagu bertemakan ketuhanan, malah dia juga semakin banyak terbabit mengacarakan rancangan yang berunsurkan keagamaan.

Fedtri misalnya pernah diberi peluang mengacarakan rancangan seperti Di Bawah Rimbunan Madrasah dan Dari Masjid Ke Masjid terbitan TV3 di mana semua peluang itu mampu mempertingkatkan lagi ideanya dalam meneruskan kerjaya sebagai penulis lirik.

"Terbaru saya diberi peluang mengacarakan rancangan bual bicara agama Al-Kuliyyah.

"Pada masa sama, saya juga mencuba bakat dalam penulisan apabila baru-baru ini diberi peluang menulis sebuah kolum yang diberi nama Dari Mata Turun Ke Hati di majalah Gen-Q di mana topik tulisan saya juga berteraskan kepada mesej-mesej yang positif," ujarnya lagi.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: