Saturday, November 19, 2011

Enaknya makanan Arab


ORANG ramai menjamu selera di Restoran Al Araby di Seberang Jaya, Pulau Pinang.


SEBAIK sahaja melangkah kaki masuk ke Al Araby Matha'am yang terletak di Tesco Extra Seberang Jaya, Pulau Pinang, kedengaran lagu-lagu Arab yang menjadi halwa telinga pengunjung di restoran berkonsepkan negara Timur Tengah itu.

Malah tatkala menatap menu yang disediakan, pelanggan pasti terpegun membaca nama-nama seperti mandy ayam, mandy kambing, kabsa kambing, kambing dan ayam panggang, beriani ayam dan kambing atau jus segar Rani, Barbican serta kordial dan tidak dilupakan teh pudina Arab.

Menurut Pengurus Al Araby Matha'am, Annas Araby Abdul Alim Araby, 33, restoran itu adalah perniagaan keluarga yang mengetengahkan menu-menu dari negara Timur Tengah seperti Yaman dan Emiriah Arab Bersatu.

Katanya, restoran itu baru dibuka pada 23 Oktober lalu, namun sambutan yang diterima amat menggalakkan terutama daripada pelanggan Tesco sendiri yang ingin mencuba sesuatu yang baru seperti itu.

"Kita cuba membawa suasana di negara Arab ke sini melalui hidangan serta hiasan restoran, selain cuba mengembalikan kenangan mereka yang pernah berkunjung ke negara Timur Tengah.

"Istimewanya, chef juga dibawa dari Yaman yang pakar dalam pelbagai masakan Timur Tengah termasuk kebab dan beberapa hidangan lain," katanya yang dibantu adiknya, Sani Araby, 27, yang juga pengasas restoran ini.

Tambah Annas, bahan-bahan mentah yang digunakan di restoran itu juga 70 peratus daripadanya diimport dari Timur Tengah, namun rasa masakannya diadun dengan selera tempatan.

Jelasnya, walaupun terdapat beberapa restoran berkonsepkan Arab di Pulau Pinang, namun Al Araby Matha'am menjanjikan kelainan kepada pengunjung kerana harga yang ditawarkan amat berpatutan.

"Selain itu, bagi menjadikan suasana lebih santai, perkhidmatan wi-fi percuma turut ditawarkan di restoran yang dibuka mulai pukul 12 tengah hari hingga 10.30 malam setiap hari," ujarnya.

Sementara itu, Sani berkata, pihaknya merancang untuk membuka ruang yang lebih santai kepada pelanggan untuk menikmati kebab atau hidangan sarapan dan minum petang serta disediakan sisha.

Lebih menarik ujarnya, Al Araby Matha'am juga menawarkan pakej dan hidangan khas kepada pengantin baru berkonsepkan 1001 Malam serta pakej majlis korporat.

"Mereka yang ingin membuat tempahan boleh datang sendiri ke restoran atau menghubungi saya di talian 019-4810025," katanya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: