
MEMANG pelik bunyinya apabila impian untuk dimatikan sebelum masanya, menjadi kenyataan. Itulah impian seorang wanita penghidap alzheimer yang akhirnya 'dimatikan' dengan kaedah euthanasia.
Wanita berusia 64 tahun itu telah menderita penyakit tersebut sejak beberapa tahun lalu dan pernah menyuarakan hasrat untuk 'mati secara baik' ketika dia masih mampu berfikir dengan waras.
Alzheimer ialah bentuk penyakit nyanyuk atau dementia paling biasa dialami oleh manusia berusia 60 tahun ke atas.
Namun ketika dia menyatakan hasratnya, berlaku pelbagai isu dan kontroversi sehingga menyebabkan keinginan tersebut ditangguh sehingga Mac tahun ini.
Inilah yang telah berlaku di The Hague, Belanda dan buat pertama kalinya juga, negara tersebut membenarkan pesakit yang sedar secara mental memohon untuk dimatikan menerusi cara euthanasia.
Euthanasia merujuk kepada Bahasa Yunani, eu (baik) dan thanatos (mati), yang digabungkan menjadi 'mati dengan baik'. Secara definisinya pula merujuk kepada tindakan menamatkan hidup seseorang dengan sengaja kerana seseorang itu tidak dapat menahan sakit atau tidak dapat diubati dengan perubatan yang sedia ada.
"Wanita berusia 64 tahun itu akhirnya disahkan meninggal dunia setelah menderita penyakit alzheimer untuk satu tempoh yang agak lama," ujar Walburg de Jong, wakil dari kumpulan Right to Die-NL (hak untuk mati), baru-baru ini.
Sebenarnya, menurut de Jong wanita tersebut telah sekian lamanya menuntut hak untuk dieuthanasiakan.
"Ini satu keputusan yang amat penting. Sebab ini merupakan kes pertama euthanasia melibatkan kes dari kategori penyakit dementia," jelasnya.
Alzheimer merupakan salah satu bentuk dementia iaitu gejala kerosakan otak yang mengganggu kemampuan seseorang untuk berfikir, daya mengingat dan fungsi berbahasa, sama seperti kes wanita ini.
Euthanasia dibenarkan di Netherlands khusus kepada pesakit yang menanggung kesakitan yang teramat, tertakluk kepada penilaian doktor bahawa pesakit tersebut juga tidak boleh sembuh. Kaedahnya, pesakit sendiri memberikan kebenaran dalam keadaan sedar dan mampu berfikir sendiri untuk dimatikan.
"Kes ini juga merupakan satu mesej kepada para doktor yang sering menolak permintaan pesakit untuk menjalani euthanasia pada tahap awal dementia walaupun pesakit itu sendiri telah beria-ia untuk menjalaninya," ujar de Jong.
Netherlands merupakan negara pertama di dunia ini yang mengiktiraf euthanasia pada April 2002.
Wanita tersebut dieuthanasiakan ketika dia tidak lagi mampu menyuarakan hasratnya untuk mati, namun apa yang diimpikan sejak beberapa tahun lalu akhirnya menjadi realiti.
Wanita yang identitinya itu tidak didedahkan atas tujuan mengelak kontroversi pada ahli keluarganya sebenarnya merupakan seorang penyokong tegar amalan euthanasia sejak dari zaman mudanya.
Dia juga telah membuat satu kenyataan bertulis ketika masih sihat dan waras mengatakan hasratnya bahawa dia ingin mati dengan cara tersebut.
Namun hasrat pesara tersebut terpaksa ditunda ekoran penyakit nyanyuknya yang semakin parah sehingga sukar untuk para doktor dan ahli keluarga menentukan sama ada dia benar-benar serius dengan permintaan untuk menjalani euthanasia tersebut.
Seorang doktor, Constance de Vries, yang juga bertindak sebagai pemberi pendapat kedua untuk kes seperti euthanasia mendakwa kes wanita tersebut telah menimbulkan pelbagai implikasi serius dalam undang-undang Euthanasia Belanda.
"Ia juga satu mesej menyatakan bahawa pesakit yang sudah tidak mampu untuk menyuarakan hasratnya untuk mati, masih boleh mendapatkan khidmat tersebut," katanya.
Di Belanda, setiap kes permohonan euthanasia mesti dilaporkan kepada satu hingga lima suruhanjaya khas yang terdiri daripada doktor, juri dan beberapa pakar berkaitan yang bertauliah yang akan menilai semua kriteria yang telah ditetapkan.
Dalam kes wanita penghidap alzheimer ini tidak dapat dipastikan sama ada dia telah melalui prosedur tersebut atau tidak.
Undang-undang Belanda sebelum ini telah menetapkan hukuman penjara kepada sesiapa sahaja yang membantu atau terlibat dalam kes bunuh diri.
21 pesakit diberi suntikan maut
Menurut satu laporan yang pernah dikeluarkan awal tahun ini di Belanda, sejumlah 21 pesakit dementia peringkat awal termasuk alzheimer telah meninggal dunia dengan cara menerima suntikan membawa maut (lethal injection) pada tahun 2010.
Walaupun ini merupakan kes pertama euthanasia yang melibatkan penderita dementia di Belanda namun tiada satu kes pun yang pernah dikaitkan dengan tindakan undang-undang sebelum ini.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: