Friday, November 11, 2011

Cabaran mualaf sebagai pendakwah


KURSUS Sijil Tinggi Pengajian Sains Dakwah menyuntik keazaman kepada peserta untuk lebih bersemangat dalam menjalankan usaha dakwah kepada masyarakat.


MEMANTAU pergerakan umat Islam di negara ini yang mencecah angka 17.3 juta orang atau pun 61.3 peratus dari jumlah keseluruhan 28 juta orang penduduk bukanlah mudah. Lebih-lebih lagi apabila melibatkan soal akidah dan keimanan manusia yang mudah goyah dan berubah-ubah.

Walaupun Islam terpahat kemas dalam Perlembagaan melalui Perkara 3 (1) sebagai agama Persekutuan atau agama negara, namun itu tidak bermakna tidak perlu ada usaha untuk mengukuh dan memantapkannya.

Tetapi ia tidak bermakna usaha mengukuh dan memantapkan Islam dan penganutnya itu bakan menjejaskan agama-agama lain.

Ketika kedudukan Islam dihormati dan tidak boleh dipertikaikan dan diganggu gugat, agama-agama lain tetap 'diraikan' di negara ini sebagaimana mengikut Perlembagaan Perkara 11 Kebebasan beragama di mana tiap-tiap orang berhak menganuti dan mengamalkan agamanya.

Itu yang menyaksikan 9.8 peratus penduduk negara ini merupakan penganut agama Buddha diikuti Kristian sebanyak 9.2 peratus, Hindu (6.3 peratus) dan 3.4 peratus lagi adalah penganut agama-agama lain.

Kedudukan Islam sewajarnya tetap teguh di negara ini dan adalah menjadi kesalahan dan boleh dijatuhkan hukuman jika terdapat mana-mana pihak cuba melancarkan dakyah untuk memurtadkan umat Islam.

Ini sebagaimana termaktub dalam fasa 4 Perlembagaan yang menyebut, undang-undang Negeri dan berkenaan dengan Wilayah-Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya, undang-undang persekutuan boleh mengawal atau menyekat pengembangan apa-apa doktrin atau kepercayaan agama di kalangan orang yang menganuti agama Islam.

Namun perkara ini yang sering dilupakan sehingga mewujudkan persaingan serta gerakan sulit sesetengah pihak yang cuba menyebarkan fahaman agama masing-masing.

Kini gerakan dakyah dan memurtadkan umat Islam menjadi cabaran terbesar yang perlu ditangani oleh Majlis Agama Islam Negeri-negeri untuk menangani gejala tersebut.

Apapun kini, gerakan dakwah Islam terus bergerak cergas tanpa pernah ada noktah. Malah keperluannya kian bertambah terutama dalam keadaan di mana Islam diasak kiri dan kanan.

Malah cabaran untuk berdakwah itu turut dipikul oleh setiap umat Islam termasuk mereka yang bergelar saudara baru atau mualaf.

Biarpun mereka baru memeluk agama Islam, ia bukan penghalang untuk golongan itu menguasai setiap aspek agama dan seterusnya menggunakan pengetahuan yang ada itu untuk keluar berdakwah bagi mengukuhkan Islam.

Walaupun dianggap masih baru dan mentah malah mereka juga dikira masih perlukan bimbingan untuk menguatkan keyakinan dan kepercayaan terhadap Islam, sesetengah mualaf pada hari ini telah bersedia memikul beban yang berat ini untuk bergelar pendakwah.

Ini sebagaimana yang ditemui di Majlis Penyampaian Sijil Tinggi Pengajian Sains Dakwah kepada 32 peserta yang terdiri kebanyakan mereka adalah golongan mualaf sama ada mewakili pelbagai pertubuhan dan individu di Institut Latihan Islam Malaysia (ILIM), Bangi, Selangor baru-baru ini.

Sijil tersebut disampaikan oleh Timbalan Ketua Pengarah Pembangunan Insan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), Razali Shahabudin di Auditorium As Syafie ILIM, yang turut dihadiri oleh Pengarah ILIM, Che Ibrahim Che Man.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: