Friday, November 18, 2011

Buku masakan gaya hidup


Chef Amy Beh menunjukkan salah satu hidangan sihat yang disediakannya.


SETIAP kali hendak mengambil makanan, pesakit diabetes sentiasa berasa ragu-ragu sama ada dia boleh memakan makanan tersebut atau tidak.

Selera begitu teringin hendak memakannya tetapi apabila teringatkan diri menghidap penyakit diabetes, makanan tersebut diletak semula atau hanya mencubit sedikit.

Begitulah yang dialami oleh kebanyakan pesakit diabetes yang amat prihatin menjaga pemakanan bagi mempastikan kesihatan sentiasa dalam keadaan baik dan memuaskan.

Mereka tidak mahu oleh kerana disebabkan sedikit makanan, bacaan gula menjadi tinggi dan akan merunsingkan fikiran. Justeru daripada timbul masalah tersebut mereka berfikir adalah lebih baik jangan terus memakannya.

Sebagai manusia biasa, pesakit diabetes juga pastinya inginkan kenikmatan dalam makanan.

Masih ada cara lain bagi pesakit diabetes menikmati makanan yang lazat dengan kandungan gula dan khasiat pemakanan yang terkawal. Cara memasak mengikut resipi yang sesuai bagi seseorang pesakit diabetes membuatkan mereka dapat menikmati makanan dengan berselera dan berkeyakinan.

Untuk itu, peneraju penjagaan kesihatan global, Merck Sharp & Dohme (MSD) bersama Persatuan Diabetes Malaysia (PDM) telah melancarkan buku masakan gaya hidup yang pertama, iaitu Raikan - Buku Masakan Gaya Hidup.

Buku ini ditujukan khusus bagi pesakit diabetes jenis 2 di bawah kempen Hidup Sihat Dengan Diabetes yang dilancarkan pada tahun 2007.

Raikan - Buku Masakan Gaya Hidup mengandungi 12 resipi lazat lagi berkhasiat berdasarkan pelbagai perayaan di Malaysia dan seluruh dunia dari Januari hingga Disember.

Pengarah Urusan MSD, Ewe Kheng Huat berkata, Raikan - Buku Masakan Gaya Hidup bertujuan memberitahu orang ramai bahawa makanan berkhasiat yang rendah kandungan gula sesuai untuk pesakit diabetes .

''Ramai orang menyangka bahawa makanan yang berkhasiat itu pastinya tidak sedap. Malah dengan kreativiti dan pengetahuan yang memadai, anda boleh mencipta resipi sendiri yang lazat dan berkhasiat seperti yang dilakukan oleh Chef Amy Beh dan pakar pemakanan, Tan Sue Yee melalui buku masakan gaya hidup ini. Sebab itulah kita meraikannya hari ini,'' kata Kheng Huat pada majlis pelancaran buku masakan gaya hidup tersebut di Sunway Pyramid, baru-baru ini.

Turut hadir, Setiausaha Agung Persatuan Diabetes Malaysia, Datuk Rahimah Datuk Ahmad, chef selebriti terkemuka dan pakar kulinari, Chef Amy Beh dan Tan Sue Yee.

Rahimah menjelaskan, diabetes sedang berleluasa di Malaysia dan seluruh dunia. Perubahan gaya hidup moden yang mendadak membuatkan rakyat negara ini perlu memahami bahawa diabetes adalah masalah kesihatan yang besar dan semua perlu mengawalnya dari sekarang sebelum terlambat.

''Kempen Hidup Sihat Dengan Diabetes yang dilancarkan pada tahun 2007 adalah untuk menggalakkan pendidikan dan pengurusan diabetes. Pelbagai aktiviti awam telah dijalankan bagi menghebahkan hidup sihat dengan diabetes.

''Tumpuan tahun ini ialah pada aspek pemakanan dalam pengurusan diabetes dan pesakit diabetes sudah tentu berbangga dengan adanya buku masakan gaya hidup ini,'' ujar beliau.

Sementara itu Sue Yee turut bekerjasama dengan Chef Amy Beh dalam menyesuaikan resipi masakan Malaysia dan antarabangsa yang popular.

Menurut Sue Yee, diabetes jenis 2 adalah diabetes yang paling lazim dihidapi dan Pertubuhan Kesihatan Sedunia menganggarkan bahawa menjelang tahun 2020, Malaysia akan mempunyai kira-kira 2.48 juta penghidap diabetes.

''Rakyat Malaysia amat menggemari makanan manis namun kita perlu berwaspada kerana statistik ini dengan jelas menunjukkan bahawa kita perlu berhati-hati tentang makanan yang kita makan,'' jelas beliau.

Selesai majlis pelancaran, Chef Amy Beh telah menunjukkan cara penyediaan dua resipi yang terdapat di dalam buku tersebut, iaitu kari sayur dan salad sayur segar. Beliau turut menerangkan bahawa cara memasak yang pelbagai juga penting supaya hidangan yang disediakan itu berkhasiat bagi pesakit diabetes dan mereka yang sihat.

Sebanyak 1,000 naskhah buku masakan gaya hidup ini akan disediakan secara percuma di beberapa pusat diabetes dan hospital seluruh negara.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: