![]() |
| Lawak Adlin Aman Ramli pada minggu lepas tidak 'menangkap'. |
RAMAI yang tidak puas hati apabila pelawak, Jalil Hamid disingkirkan pada minggu lepas, minggu keempat Maharaja Lawak Mega (MLM).
Perjalanan Jalil yang terkandas itu dianggap tidak sepatutnya berlaku kerana jika diukur kemampuan lawak yang dipamerkan, dia harus beraksi pada minggu kelima.
Pada minggu lepas, selain Jalil, dua lagi peserta menduduki tiga tempat terbawah iaitu kumpulan Syok dan Hiro. Tetapi kedua-dua kumpulan itu terselamat.
Sebaik sahaja nama Jalil diumumkan sebagai peserta yang tersingkir pada minggu keempat MLM Jumaat lalu, pelawak tanah air itu tenang dan tersenyum lalu mengangkat tangannya.
Sejak minggu pertama MLM bersiaran, sebagai peserta solo atau stand up comedian, Jalil sebenarnya telah melawak dengan baik.
Lawaknya mampu membuatkan penonton ketawa. Tetapi Jumaat lepas, pada minggu yang menghendaki peserta melawak dengan tema cinta, Jalil tersingkir.
Di atas pentas penyingkiran, dia diberi peluang untuk memberikan ucapan di hadapan juri yang terdiri daripada Zainal Abidin Hassan, Datuk Siti Nurhaliza dan seorang juri jemputan daripada Indonesia manakala Chef Wan tidak duduk di kerusi juri MLM minggu lepas.
Dengan jujurnya, Jalil selaku pelawak dan pelakon yang disegani ramai berkata: "Keupayaan seorang berfikir adalah berbeza dengan tiga orang berfikir.
"Keupayaan dua orang berfikir dengan seorang berfikir, saya rasa jauh bezanya.
"Cuma saya harap satu sahaja dalam mencari lawak ini. Kita perhatikan semula... lawak dengan lakon lawak adalah benda yang berbeza.
"Antara lakon lawak dengan lawak itu, saya rasa dapat difikirkan semula semoga ia menjadi satu bahan yang baik sebab antara komedi dengan komedi pun ada bezanya."
Kenyataan Jalil itu perlu diberikan perhatian kerana 70 peratus markah peserta diberikan oleh para juri.
Bukan mahu mempertikaikan keputusan juri yang dilihat bijak sana tetapi apakah para juri mampu membezakan di antara lawak dengan lakon lawak kerana seorang pelawak, dia melawak dan bukannya berlakon lawak.
"Bagi saya, melawak berseorangan ini sesuai untuk persembahan tapi untuk dibawa bertanding, memang ia membebankan.
"Saya pula bergerak secara seorang. Cara penyampaian juga adalah berbeza dengan mereka yang datang secara berkumpulan.
"Cara tiga orang berfikir atau cara dua orang berfikir adalah berbeza dengan cara seorang berfikir," kata Jalil ketika ditemui selepas pertandingan.
Ia membawa maksud yang cukup dalam untuk direnungkan sama ada oleh penonton mahupun juri pertandingan.
Jalil menambah, sejak dari minggu kedua menyertai MLM, dia merasakan satu tekanan kerana menyedari kehadirannya melawak secara solo, bukan satu perkara mudah.
"Cabaran memang hebat sehinggakan saya sukar untuk melelapkan mata pada waktu malam. Apa pun, keputusan juri malam ini adalah muktamad.
"Saya kini rasa lega sebab sudah tersingkir," kata Jalil yang masih boleh mengukir senyuman biarpun ada di kalangan penonton MLM tetap tidak puas hati kerana beliau tersingkir pada minggu keempat.
Penyingkiran bukan dirancang
Melihatkan persembahan kesemua 11 peserta pada minggu keempat MLM, persembahan Adlin Aman Ramli tidak mencuit hati.
Jika dilihat daripada persembahan pada malam tersebut, rata-rata penonton tidak dapat 'menangkap' apa yang cuba disampaikan oleh Adlin.
Timbul persoalan, mengapa Adlin tidak disingkirkan? Apakah penyingkiran peserta itu dirancang?
Selaku penerbit MLM, Khairul Nizam Jamaludin berkata, tidak timbul sebarang isu penyingkiran peserta yang dirancang kerana pihak Astro benar-benar telus dalam sistem pemarkahan.
"Kami mempunyai pasukan audit yang betul-betul telus dalam sistem pemarkahan yang diambil daripada pihak luar.
"Ini bagi memastikan setiap keputusan yang dibuat adalah tepat dan tidak dipengaruhi oleh mana-mana pihak.
"Lagipun, 70 peratus keputusan terletak di tangan juri dan 30 peratus datangnya daripada undian penonton.
"Jadi isu penyingkiran yang dirancang ini tidak timbul kerana keputusan terletak di tangan juri.
"Ini melibatkan kredibiliti Astro itu sendiri dan bukan perkara main-main," ujarnya.
Pada minggu keempat, kumpulan Boboi menduduki tempat teratas (70 markah) manakala kumpulan 3G dan Osbon berkongsi markah (66 markah), diikuti Bawal Power (BP) dan Saehu (62 markah).
Lain-lain, kumpulan dari Bandung, Indonesia, Bawel (61 markah), Pimai (60 markah), Adlin (53 markah), Hiro (53 markah) dan kumpulan Syok (49 markah).

No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: