Berjaya Air sedia penerbangan baru

LANGKAWI - Berjaya Air Sdn Bhd, menawarkan perkhidmatan penerbangan berjadual ke Langkawi, dengan empat penerbangan seminggu, melalui Pangkalan Terminal Sky Park, Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah, Subang.

Pengarahnya, Datuk Azlan Meah Ahmad Meah berkata, syarikat komited membuat tawaran tersebut sebagai memenuhi permintaan pelancong yang semakin meningkat.

Beliau berkata, pener ba­ngan berkenaan, menggunakan pesawat jenis ATR-72 500 dengan 72 tempat duduk dan disediakan hidangan ringkas di dalam pesawat.

“Perkhidmatan dilakukan atas dorongan kerajaan dalam meningkatkan ketibaan pelancong ke pulau ini.

“Kami juga dalam usaha merealisasikan pelan Induk Lima Tahun Pembangunan Pelancongan Langkawi yang menekankan inisiatif meningkatkan sistem pengangkutan di Langkawi,” katanya.

Hadir sama, Ahli Parlimen Langkawi, Datuk Paduka Abu Bakar Taib; Adun Ayer Hangat, Mohd Rawi Abdul Hamid dan Pengurus Besar Berjaya Air, Lee Sok Khoon.

Menurutnya, tidak wujud persaingan terhadap Malaysia Airlines, AirAsia, Firefly dan SilkAir dari Singapura yang telah pun mengadakan penerbangan berjadual ke pulau ini.

“Kami mempunyai pendekatan dengan meningkatkan kerjasama dengan hotel-hotel dalam menyediakan pakej pelancongan berpatutan,” katanya.

Berjaya Air turut menawarkan penerbangan dari Subang ke Pulau Redang, Pulau Tioman, Koh Samui, Thailand serta penerbangan terus menghubungkan Singa­pura ke Pulau Tioman dan Pulau Redang.