|
DIA dinobatkan oleh majalah People sebagai jejaka paling seksi pada tahun 2010. Majalah Men's Health pula menjulang aktor kelahiran Pennsylvania itu sebagai pemilik tubuh paling menggiurkan sepanjang musim panas pada tahun ini. Selain itu, dia juga dilabel antara 25 jejaka paling kekar oleh majalah Men's Fittest, Lelaki Luar Biasa Terhangat 2011 oleh majalah Entertainment Weekly dan Anugerah Sharp Dressed Man 2011 oleh majalah US Weekly.
Tidak hairan figura bernama Joseph Michael 'Joe' Manganiello atau Joe Manganiello, 34, yang melakonkan peranan Alcide Herveaux dalam drama bersiri hebat eksklusif di saluran HBO, True Blood itu kian membuka mata ramai. Tidak terkecuali dia kini muncul sebagai simbol seks era masa kini, sesuai dengan sosok kekarnya setinggi 1.96 meter.
"Siapa saya dan bagaimana rupa saya bergantung pada tafsiran peminat, jika mereka melihat saya ikon positif maka itulah saya.
"Tapi buat masa sekarang, setiap hari bagaikan Halloween bagi saya, ke mana saya pergi orang akan panggil saya serigala jadian," katanya menjelaskan imej yang dinilai peminat menerusi drama bersiri True Blood musim keempat yang kini bersiaran pada setiap hari Khamis pukul 10.30 malam di saluran Astro 411 (HBO).
Sebagai Alcide Herveaux yang berkebolehan menjelma menjadi serigala jadian menyaksikan karakter lakonan Manganiello yang mula diperkenalkan pada musim ketiga itu kini mula berkembang peranannya dalam musim keempat.
True Blood yang berkisar dunia moden yang kini dihuni secara berkongsi oleh puak manusia normal dan puntianak itu membariskan tiga pelakon hebat untuk karakter utamanya iaitu pemenang Oscar Anna Paquin, Alexander Skarsgard dan Stephen Moyer.
Badan hangat
![]() |
| BAKAL muncul menerusi filem lakonannya di samping Jennifer Lopez dan Cameron Diaz yang berjudul What To Expect When You're Expecting. |
Seronok melakonkan watak serigala jadian kata Manganiello, watak itu juga turut menuntutnya berkelakuan seperti haiwan.
"Saya perlu pastikan badan sentiasa hangat terutama pada waktu malam, oleh itu lebih banyak daging yang perlu saya makan setiap hari.
"Dalam pada masa yang sama, pada mulanya saya harus belajar menghasilkan bunyi mengeram dan menyalak seperti kelakuan seekor serigala," ujarnya yang ditemui ketika sesi temuramah eksklusif bersama media dari Asia di Hong Kong baru-baru ini.
Malah, dalam musim keempat True Blood, Manganiello lebih banyak terbabit dalam babak yang memerlukannya menanggalkan pakaiannya dan beraksi tanpa seurat benang.
"Saya nilaikan berbogel dari sudut artistik dan tidak salah selagi saya masih memiliki badan yang sempurna untuk ditayang kepada peminat dan penonton," tegasnya yang mengakui bahawa keluarganya kini menerima secara terbuka hakikat bahawa dia berlakon bogel dalam True Blood.
Demi mendapatkan sosok tubuh yang sasa dan kekar, Manganiello mengupah jurulatih khas yang pernah terlibat dalam filem X-Men, Ron Matthew untuk melatih tubi dirinya setiap hari.
"Ia umpama satu latihan intensif untuk mendapatkan otot bisep yang lebih bergaya, saya yang dapatkan Ron untuk melatih saya dan membayarnya untuk memukul saya ketika sesi latihan," kata figura berdarah kacukan Austria, German dan Armenia itu.
Tambahnya, sistem pemakanan yang diamalkannya kini dilipatgandakan untuk mentransformasikan tubuhnya agar kelihatan lebih besar dan 'kehaiwanan'.
Menerusi musim keempat True Blood juga ujar Manganiello menampilkan lebih banyak kejutan dan konflik antara watak terutama Alcide dan Eric Northman (yang dilakonkan oleh Alexander Skarsgard).
"Babak paling mencabar dalam musim keempat ini adalah pada episod keempat. Setelah membaca skrip saya menggeletar.
"Dalam episod itu saya diperlukan untuk bertumbuk dengan Eric di kawasan lapang dalam keadaan berbogel dan Sookie Stackhouse (lakonan Anna Paquin) berada di tengah-tengahnya," bicaranya diiringi ketawa kecil.
Doa termakbul

Pemilik personaliti yang sangat menyenangkan itu turut berkongsi kisah ajaibnya ketika zaman kanak-kanak.
"Ketika di bangku sekolah saya sering dibuli sebenarnya kerana saiz badan yang pelik, maka setiap hari saya akan ke gereja dan berdoa untuk dijadikan seekor serigala jadian.
"Dan ia seolah-olah satu keajaiban apabila sekarang doa saya itu termakbul walau cuma beraksi dalam drama," ceritanya yang dahulunya pernah mengalami kecederaan teruk pada lutut, siku dan pergelangan kaki akibat bersukan.
Pada mulanya, karier sebagai seorang pelakon kurang disenangi oleh keluarga terutama bapanya, Charles.
Namun, mungkin kerana bakat dan keserasiannya muncul di kaca TV dan layar perak, bapanya sendiri sanggup menulis sebuah sajak mengenai serigala jadian dan dihadiahkan kepadanya.
"Sebaik meraih hadiah itu saya menangis dan saya lalu bingkaikan sajak itu untuk diabadikan di dinding rumah," maklum anak sulung daripada dua beradik itu.
Kawan rapat Thunder
Manganiello yang telah pun menandatangani kontrak enam tahun untuk True Blood itu sempat berkongsi kisah menariknya dengan serigala terlatih yang digunakan dalam setiap babak penjelmaannya.
"Nama serigala itu ialah Thunder, kalau dulu saya takut untuk menghampirinya tapi sekarang kami seperti kawan rapat.
"Ia pun nampaknya sudah mula sukakan saya, ada juga kadangkala saya membawanya bersiar-siar dan bagi saya Thunder adalah seekor serigala yang luar biasa!" tutur aktor yang terpaksa menolak tawaran menjadi Superman dalam filem francais akan datang Superman: Man Of Steel akibat pertindihan jadual.

No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: