Saturday, November 19, 2011

Aurora Salwa bermanja di pusat kecantikan


RAMBUT memainkan peranan penting dalam penampilan seharian Aurora Salwa.


Bagi wanita kelahiran Kota Tinggi, Johor ini, sebenarnya dia lebih selesa untuk melakukan aktiviti ini di rumah berbanding di pusat kecantikan.

Bagaimanapun disebabkan kesuntukan masa, Aurora merasakan lebih mudah untuk melakukan rutin mingguannya di pusat-pusat kecantikan pilihannya.

Menurut Aurora atau nama sebenarnya Salwa Md. Razak, jika dulu dia lebih mementingkan kecantikan dalaman berbanding luaran, namun setelah menjadi artis, kedua-duanya amat penting.

"Rutin kecantikan saya sebenarnya bermula setelah saya bangun dari tidur setiap pagi, iaitu minum segelas air masak.

"Selain itu, saya juga mengamalkan penggunaan rempah ratus untuk membantu saya memiliki kulit yang lebih cantik," katanya ketika ditemui di pusat kecantikan Orkid Nail Shah Alam, Selangor, baru-baru ini.

Dikenali melalui lagu kontroversinya bertajuk Ahmad, Aurora memberitahu walaupun dia baru melangkah ke dalam dunia seni, namun aktiviti kecantikannya sudah bermula sejak dari bangku sekolah lagi.

"Sebenarnya saya lebih senang melakukan di rumah kerana sejak dulu lagi saya sudah memulakan rutin penjagaan kecantikan ini.

"Bagaimanapun dengan melakukan aktiviti ini di pusat kecantikan, ia lebih cepat dan menyeluruh," ujarnya.

Percaya bahawa kecantikan itu berkait rapat dengan elemen kebersihan, Aurora juga menitikberatkan kebersihan di dalam kehidupan sehariannya.

"Saya akan memastikan rumah saya berada di dalam keadaan kemas dan bersih, ini merupakan antara terapi saya untuk mengurangkan stres.

"Saya juga pasti, jika kita berada di dalam keadaan yang bersih, maka masalah kulit seperti alahan dapat dielakkan," katanya.

Pengorbanan Aurora

Meninggalkan kerjaya sebagai polis untuk menjadi artis merupakan pergorbanan terbesar gadis tinggi lampai ini.

Menurut Aurora, minatnya yang mendalam di dalam bidang nyanyian memberikan kelebihan buat dirinya untuk membuat keputusan ini.

"Menyanyi merupakan minat saya sejak dahulu lagi. Mungkin ramai yang terkejut dengan keputusan ini, namun saya tetap yakin untuk meneruskannya," katanya bersungguh.

Menyedari lagunya Ahmad kini menjadi perbualan ramai gara-gara liriknya yang dikatakan kurang disenangi, Aurora memberitahu tiada niat di hatinya untuk mengguris hati mana-mana pihak.

"Saya tidak berniat untuk menyindir sesiapa yang bernama Ahmad dan saya harap pendengar lebih matang untuk memahami maksud lagu ini," katanya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: