![]() |
| NAJWA mempunyai potensi besar untuk diangkat sebagai Artis Baru Terbaik. |
SETIAP tahun, industri muzik tempatan melahirkan ramai bintang baru yang dilihat mampu pergi jauh sekali gus membawa gelombang baru dalam merobah senario industri.
Namun, bukan semua bintang baru itu dapat diterima dengan baik kerana jika tiada bakat, memang mustahil untuk diketengahkan dan mendapat tempat di dalam industri.
Selama 18 tahun dianjurkan, Anugerah Industri Muzik (AIM) telah menobatkan 28 orang pemenang dalam kategori Artis Baru Terbaik.
Sekadar menyingkap sejarah, ia mula diperkenalkan pada tahun 1994 dengan menampilkan dua kategori iaitu Artis Baru Terbaik Solo dan Berkumpulan.
Ketika itu, menyaksikan penyanyi popular, Ning Baizura dan kumpulan Feminin menjadi pemenang pertama.
Tahun seterusnya perubahan mula dilakukan apabila ia dibahagikan kepada tiga iaitu Artis Baru Terbaik Lelaki, Wanita dan Berkumpulan.
Namun, ia hanya kekal sehingga tahun 1999. Tahun selepas itu menyaksikan kembali kategori itu dirangkumkan menjadi satu yang menggabungkan penyanyi solo dan berkumpulan.
Seperti mana tahun-tahun sebelum ini, Artis Baru Terbaik kali ini juga memperlihatkan saingan yang boleh dikatakan tidak kurang hebatnya.
Dibarisi tiga penyanyi solo dan selebihnya adalah penyanyi berkumpulan, semuanya mempunyai peluang sama rata untuk dinobatkan sebagai Artis Baru Terbaik.
Mereka yang dicalonkan tahun ini ialah James Baum, Kyoto Protocol, Najwa, Project Pistol dan Reza Salleh.
Mahu atau tidak, harus diakui tumpuan tahun ini nampaknya lebih kepada Najwa yang dilihat sebagai calon utama untuk dinobatkan sebagai Artis Baru Terbaik.
Hadir dengan bakat yang cukup besar dan istimewa, sememangnya tidak mustahil untuk Najwa menang mudah dengan menewaskan empat calon lain.
Berbekalkan vokal yang cukup mantap dan karya seni ciptaannya sendiri, Najwa mampu pergi jauh dan bertahan lama di dalam industri.
Saingan terdekat yang dapat dilihat akan bersaing hebat dengan Najwa adalah Reza Salleh yang juga berpotensi besar untuk memenangi kategori tersebut.
Dengan pengalaman lebih 10 tahun dalam industri dan hadir dengan karya serta bakat tersendiri, Reza juga antara bakat baru yang harus diberi peluang serta tidak boleh dipandang enteng.
Atau siapa tahu gelaran idaman ramai itu akan menjadi milik James Baum yang cukup dikenali dengan irama R&B dan soul.
Apatah lagi, industri seni sendiri ketandusan penyanyi yang memperjuangkan irama seperti itu. Siapa tahu, seandainya James dinobatkan sebagai Artis Baru Terbaik. Dia mampu melahirkan karya berkualiti dan memberikan variasi kepada industri muzik tempatan.
Jika penyanyi solo bukan menjadi pilihan juri tahun ini, trofi itu sudah pasti dengan mudah menjadi milik Kyoto Protocol mahupun Project Pistol.
Bertunjangkan genre rock dalam muzik mereka, kedua-dua kumpulan itu memiliki keistimewaan masing-masing dalam memikat hati juri.
Soal menang atau kalah bukanlah perkara pokok tetapi yang penting adalah misi dan visi bakat-bakat baru itu dalam memartabatkan industri seni tempatan untuk membawanya ke satu tahap yang lebih tinggi.
Trofi juga bukan satu tiket emas untuk duduk bergoyang kaki sebaliknya ia adalah pembakar semangat untuk terus melahirkan karya-karya berkualiti agar ia dapat diterima baik oleh khalayak.

No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: