Monday, November 7, 2011

Antara glamor & realiti Mumbai


Penulis (kiri) bersama rombongan media dari Malaysia di hadapan Gateway of India.


MUMBAI yang terletak di bahagian persisiran barat India, kata seorang teman boleh diibaratkan seperti New York bagi Amerika. Berbeza dengan ibu kota negara itu, New Delhi, Mumbai boleh dikatakan moden dari segi pembangunan dan juga mentaliti masyarakatnya.

Beberapa bahagian metropolitan itu didiami oleh golongan elit, kaya dan ternama. Jangan lupa bandar raya yang memiliki penduduk melebihi 20 juta itu juga menjadi pangkalan kepada industri hiburan kedua popular di dunia, Bollywood.

Lalu tidak hairanlah bangunan pencakar langit mendominasi hampir segenap ruang selain gedung beli-belah dan pelbagai jenis pusat hiburan.

Penulis berkesempatan bertamu di Colaba. Kota yang terletak di penghujung peta Mumbai mempunyai muka bentuk seakan tanjung, memberi gambaran sebenar kehidupan di situ.

Rombongan kami dibawa menyaksikan parti fesyen GP Mercedez-Benz Stylo yang singgah buat pertama kali di Mumbai, dalam rangka jadual menjelang acara sukan berprestij dunia itu.

Lalu pada sebelah siangnya, kesempatan menyusuri jalanan di sekitar Apollo St., Colaba sehingga ke mercu tanda Mumbai, Gateway of India memberi seribu satu pengalaman yang cukup berharga.

Merujuk sejarah, pada sekitar abad ke-16, Colaba dan seluruh kawasan itu ditadbir oleh Portugis sebelum Inggeris mengambil alih pemerintahan lebih seratus tahun kemudian. Lalu tidak hairanlah jika bangunan kolonial menghiasi hampir segenap penjuru Colaba, yang diibaratkan syurga buat pelancong luar.

Butik-butik ternama tidak ketinggalan menyerikan kiri dan kanan jalan, selain gerai-gerai kecil menjual cenderamata, selendang, aksesori, kain sari dan pelbagai lagi.

Anda boleh mendapatkan pelbagai jenis barangan yang diingini pada harga sangat berpatutan. Seandainya bijak dalam urusan tawar-menawar pastinya harga yang diberi sukar untuk dipercayai kerana terlalu murah. Namun ada juga yang menjadi mangsa penipuan. Ini kerana laluan itu merupakan tumpuan pelancong asing terutama dari Barat, menyebabkan peniaga mengambil kesempatan.

Selain cenderamata, gerai menjual sirih pinang yang menjadi tradisi masyarakat India turut ada di situ. Tidak hairanlah jika pada sesetengah tempat seperti pokok hiasan, longkang dan tepi-tepi jalan dipenuhi dengan warna merah.

Berjalan di sekitar Colaba tidak sukar mencari restoran yang menghidangkan makanan halal lantaran penduduk Mumbai sendiri banyak yang beragama Islam.

Malah sebuah masjid terapung yang digelar Haji Ali Dargah boleh dilihat dengan jelas dari Gateway of India. Masjid itu dibina pada 1431 dan terletak 500 meter dari Teluk Worli. Dargah di dalam bahasa Urdu bermaksud makam.

Ia dibina bagi memperingati pedagang Islam yang kaya dan ternama, Sayed Peer Haji Ali Shah Bukhari. Ketika hayatnya, Haji Ali pernah bermimpi bahawa dia membuat kerosakan di atas muka bumi. Lalu selepas berfikir semasaknya, dia ingin meninggalkan Mumbai dan menunaikan haji dengan belayar ke Mekah. Dia turut mengarahkan pengikutnya agar membawa jenazahnya ke Lautan Hindi seandainya dia mati.

Selepas itu, Haji Ali jatuh sakit dan terjadilah peristiwa pelik apabila keranda yang membawa jenazahnya terapung hingga kemudian terdampar di persisiran pantai Worli.

Lalu di situ dibinalah masjid tersebut sebagai mengingati jasa beliau dan jenazahnya turut disemadikan di situ. Sehingga kini, Masjid Haji Ali Dargah turut dikunjungi oleh mereka yang bukan beragama Islam kerana percaya ia mempunyai keramat tertentu.

Gateway of India ialah mercu tanda yang mengujakan penulis untuk menjejakinya tatkala menerima jemputan ke bandar raya glamor itu.

Semuanya gara-gara pengaruh filem Hindi popular, Maan lakonan Amir Khan dan Manisha Koraila yang berjanji untuk bertemu di tapak itu, seandainya ingin membalas cinta sang hero.

Bagaimanapun pertemuan mereka tidak kesampaian apabila si gadis ditimpa kemalangan ketika ghairah untuk bertemu teruna tatkala melintas jalan sehingga tidak nampak kereta yang lalu-lalang.

Sememangnya binaan yang dibangunkan pada awal abad ke-20 itu amat mengagumkan. Ia dibina bagi meraikan kedatangan King Edward IV ke India kerana Mumbai adalah pelabuhan utama negara itu.

Gateway of India bercirikan binaan Islam dalam banyak sudut, digabungkan dengan seni bina Hindu pada sudut-sudut tertentu.

Terletak bertentangan hotel paling mewah di Mumbai, Hotel Taj Mahal, yang pernah menjadi sasaran bom pengganas pada 2008, menjadikan pemandangan di situ menawan sekali.

Deretan kereta kuda berhias, setia menanti pengunjung untuk bersiar, sama seperti apa yang kita lihat dalam kebanyakan filem Hindi. Untuk memasuki kawasan Gateway of India, anda perlu melepasi kawalan keselamatan pihak polis terlebih dahulu.

Namun kawasan itu masih boleh membenarkan peniaga-peniaga kecil menjalankan operasi mereka sehingga kelihatan mencacatkan pemandangan yang cukup indah dan mengasyikkan di situ.

Mungkin kunjungan kami pada hari minggu, lalu ia penuh dengan pengunjung tempatan. Mungkin itu cara paling murah untuk mereka berhibur. Rata-rata dengan aksi sendiri, hanya duduk berbual kosong sehingga menanti matahari terbenam.

Di sebalik kemajuan dan kemodenan Mumbai, masalah gelandangan antara yang sukar dikawal dan boleh dikatakan mencacatkan keseluruhan bandar raya itu.

Selain itu, kawasan setinggan yang bercambah di mana-mana, pastinya menjadi satu bebanan buat pihak berkuasa di sana. Bayangkan di sebelah hotel bertaraf empat bintang, terletak sebuah perkampungan setinggan yang pastinya menyakitkan mata memandang. Namun itulah hakikatnya sebuah negara yang sangat besar jurang taraf kehidupan rakyatnya.

Walau apa pun jua realitinya, itulah wajah sebuah negara yang bernama India.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: