Tuesday, November 8, 2011

Aidiladha: Pembekal Lembu, Kambing Paling Sibuk

Azzuddin bersama lembu-lembu di kandangnya yang terletak di Gombak.

MENJELANG Aidiladha, Azzuddin Abd Aziz, 44, menjadi orang paling sibuk di kandang lembu dan kambingnya.

Sebagai pembekal dua haiwan untuk ibadah korban dan aqiqah ini, persediaan dilakukan tiga hingga empat bulan lebih awal.

“Biasanya permintaan untuk lembu cuma 30 hingga 40 ekor sebulan, tapi musim raya meningkat ke 400 hingga 500 ekor.

“Menempah stok awal penting kerana harga lembu akan meningkat menjelang raya,” kata Azzuddin kepada Mingguan mStar.

Azzuddin berkata, kebanyakan lembunya dibawa masuk dari Thailand menggunakan treler, manakala kambing diimport dari Australia menggunakan kapal terbang.

Sebaik tiba di kandang yang terletak di Gombak, haiwan-haiwan ini akan diberi ubat anti-stres sebelum diperiksa tahap kesihatan, diberi makan sehingga gemuk dan diasingkan mengikut saiz untuk dijual.

Berpengalaman membekal lembu dan kambing kepada individu, agensi kerajaan dan swasta selama kira-kira 10 tahun, lembu menjadi pilihan utama masyarakat Melayu untuk dijadikan haiwan korban.

“Orang India, Bangladesh dan Pakistan banyak pilih kambing dan orang Arab pilih biri-biri,” katanya.

Jelasnya, keadaan di kandangnya akan sibuk dua-tiga hari menjelang Aidiladha dengan proses penghantaran lembu ke masjid-masjid dan lokasi tertentu.

Terdapat juga pelanggan yang datang untuk membeli lembu atau kambing untuk dikorbankan pada saat akhir.

Warga asing yang menetap di negara ini lebih gemar memilih kambing sebagai haiwan korban

Kemuncak kemeriahan Aidiladha di sini adalah pada pagi Aidiladha.

“Meriah sebab kami juga sediakan perkhidmatan menyembelih. Kebanyakan yang guna khidmat ini adalah warga asing kerana mereka tak ada tempat nak sembelih.

“Tahun ini dijangka 300 ekor kambing dan 30 ekor lembu akan disembelih di sini. Dagingnya sama ada diagihkan sendiri oleh pelanggan atau mereka minta kami agihkan kepada penduduk,” katanya.

Jika hari biasa hanya lima pekerja tetap diperlukan, untuk Aidiladha pula dia terpaksa mengupah 40 pekerja tambahan.

Sebahagian daripada pekerja yang akan berkorban tenaga dan masa dengan melakukan kerja penyembelihan dan pengagihan daging korban

“Operasi ketika hari raya perlu pantas dan lancar. Selain sembelih, kerja-kerja seperti melapah, meracik dan membersihkan daging juga memerlukan tenaga kerja yang ramai,” katanya.

Harga lembu bermula dari RM2,300 sehingga RM4,000 bergantung kepada berat.

Aidiladha peluang masyarakat Champa makan daging

MUHAMAD ABDULLAH

KESUSAHAN hidup masyarakat Champa di Kemboja menyebabkan ramai rakyat Malaysia beragama Islam terpanggil melakukan ibadah korban di sana.

Hal ini turut diakui Timbalan Pengerusi II Yayasan Al Ijabah, Muhamad Abdullah yang membuka peluang kepada masyarakat di sini berbuat demikian dengan bertindak sebagai wakil dan perantara sejak enam tahun lalu.

Faktor utama Kemboja menjadi pilihan berbanding negara miskin lain kerana masyarakat di sana, khususnya di Champa mempunyai budaya dan bahasa yang hampir sama dengan masyarakat Melayu negara ini.

“Menakjubkan di sana kita dapat merasakan hubungan persaudaraan yang erat dengan mereka (penduduk) walau tak pernah kenal antara satu sama lain.

“Ibadah korban telah menemukan kami dan ia sesuatu yang sangat indah,” kata Muhamad kepada Mingguan mStar.

Muhamad berkata, majoriti masyarakat di sana hidup susah dan mencari rezeki dengan melakukan kerja-kerja kampung.

“Hari raya haji adalah satu-satunya peluang untuk mereka makan daging. Pada hari biasa mereka hanya makan ikan sungai yang ditangkap di Sungai Mekong,” katanya.

Selepas lembu dikorbankan, penduduk kampung akan masak beramai-ramai untuk majlis kenduri

Menceritakan pengalaman menunaikan ibadah korban bersama saudara Islam di sana, selepas solat sunat Aidiladha lembu-lembu akan disembelih sebelum penduduk kampung bergotong-royong memasak untuk kenduri yang melibatkan seluruh penduduk kampung.

Kebiasaannya, daging korban akan dimasak gulai dan terdapat juga bahagian daging mentah yang diagih-agihkan.

Jika tahun lepas sebanyak 125 ekor lembu dikorbankan, tahun ini jumlahnya meningkat kepada 150 ekor. Setiap ekor lembu korban boleh dibahagikan sehingga tujuh bahagian.

“Sebanyak 60 kampung akan mendapat lembu korban dengan purata dua atau tiga ekor lembu untuk satu kampung.

“Dengan ini kita bukan sahaja membantu penduduk kampung, tapi dalam masa yang sama membantu penternak lembu di sana,” katanya.

Penderitaan bangsa Melayu Champa berlaku sejak Regim Khmer Rough memerintah Kemboja di antara tahun 1975-1979.

Kejatuhan kerajaan Champa mengakibatkan kawasan yang terletak kira-kira 8 jam dari bandar Phnom Penh ini lumpuh dari segi ekonomi dan sosial.

Justeru, ibadah korban adalah peluang untuk umat Islam yang berkemampuan berkorban wang, tenaga dan masa untuk membantu golongan susah.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: