Abdul Ghani bersalaman dengan penduduk yang menerima borang 5A di Kampung Sentosa, Pasir Gudang.
PASIR GUDANG: Impian 503 penduduk generasi kedua di tiga kampung rangkaian bagi mendapatkan geran tanah sejak 20 tahun lalu di sini, menjadi kenyataan apabila mereka menerima notis penyerahan 5A daripada Kerajaan Johor.
"Saya membuat permohonan hak milik pada 1997. Walaupun menunggu untuk tempoh lama, saya bersyukur dan berterima kasih kepada kerajaan negeri yang prihatin mengurniakan geran hak milik ini.
"Saya mewakili 39 penerima di kampung ini menghargai keprihatinan Menteri Besar, Datuk Abdul Ghani Othman yang mendengar rintihan dan suara rakyat," katanya ketika ditemui pada majlis pemimpin bersama rakyat dan penyerahan hak milik Notis 5A disampaikan Abdul Ghani di padang bola dekat Kampung Sentosa di sini, kelmarin.
Seorang penerima dari Kampung Sentosa, Supardan Maliki, 47, berkata kurniaan hak milik itu adalah pemberian bermakna kepada beliau sekeluarga, lebih-lebih lagi ketika menyambut perayaan Aidiladha.
"Kami sekeluarga berterima kasih kepada kerajaan negeri dan pemimpin Barisan Nasional (BN) yang selama ini memperjuangkan nasib penduduk di sini, sehingga dikurniakan geran hak milik,” katanya.
Sementara itu, Abdul Ghani, turut mengumumkan kerajaan negeri akan memberi potongan harga pada bayaran premium yang dikenakan, dan akan melanjutkan pembayaran ansuran penduduk daripada setahun kepada empat tahun bagi meringankan beban mereka terutama yang berpendapatan rendah.
"Kurniaan Notis 5A di Kampung Sentosa setakat ini adalah yang paling banyak, iaitu 724 kurniaan membabitkan tanah seluas 93 hektar. Difahamkan ada 265 penduduk lagi yang masih menunggu kelulusan permohonan mereka.
"Permohonan baki penduduk ini akan sampai pada Jawatankuasa Hal Ehwal Tanah dalam masa terdekat, dan akan diluluskan dalam dua atau tiga bulan lagi," katanya.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: