biri-biri

RANTAU PANJANG - Seorang penternak kerugian hampir RM7,000 sejak lebih setahun lalu, apabila 15 biri-birinya digigit anjing dipercayai dipelihara penduduk untuk mengawal kawasan kebun mereka.

Mangsa, Mustapa Omar, 60, berkata, kejadian terbaru kira-kira jam 4.15 petang semalam, menyebabkan biri-biri betina berusia lebih dua tahun, cedera di leher kanan diserang serta digigit dua anjing.

Mustapa berkata, ketika kejadian dia tidak ada di rumah dan kejadian hanya disedari isteri serta menantunya yang membuat kuih untuk minum petang.

Katanya, menantunya menyedari biri-birinya diserang setelah mendengar bunyi bising haiwan tersebut.

Menurutnya, menantunya segera memaklumkan kepada isterinya yang kemudiannya ke tempat kejadian kira-kira 200 meter dari rumahnya.

“Isteri ke tempat kejadian dengan membawa sebatang kayu, dan sempat melihat dua anjing menyerang biri-biri betina kami.

“Isteri sempat menyergah anjing-anjing tersebut sebelum keduanya melarikan diri sebaik melihat dia datang dengan,” katanya.

Mustapa berkata, sekiranya isterinya keluar tanpa kayu, kemungkinan dia juga akan menjadi mangsa anjing tersebut kerana haiwan itu sering bertindak menyerang sesiapa sahaja.

Berikutan kejadian itu, biri-biri yang cedera disembelih penduduk kampung.

Menurutnya, harga pasaran biri-biri betina tersebut adalah RM250.

“Hari ini (semalam) saya kerugian RM250, dan merupakan kejadian keempat dalam tempoh setahun.

“Julai lalu, empat biri-biri kami turut menjadi mangsa anjing tersebut,” katanya.