Thursday, October 13, 2011

Wayar bumi flet kena kebas

 Azmi (kanan) meninjau  wayar bumi yang dipercayai dicuri di Pangsapuri Taman Seri Setanggi.
Azmi (kanan) meninjau wayar bumi yang dipercayai dicuri di Pangsapuri Taman Seri Setanggi.
Penghuni Pangsapuri Taman Seri Setanggi bimbang litar pintas

JOHOR BAHRU: Kira-kira 500 keluarga yang mendiami Pangsapuri Taman Seri Setanggi di sini, kecewa terhadap kegagalan pemaju melaksanakan kerja penyelenggaraan sewajarnya, sekali gus mendedahkan mereka kepada bahaya.
Penduduk mendakwa mereka terdedah dengan kejadian litar pintas berikutan kebanyakan wayar bumi di pangsapuri berkenaan dicuri individu tidak bertanggungjawab, selain kerap mengalami gangguan bekalan air dan elektrik.
Kami kesal kerana pemaju bersikap lepas tangan, sekali gus memperjudikan nyawa penduduk terhadap risiko kebakaran seperti berlaku di Pangsapuri Desa Mutiara. - Azmi Yusuf, Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Penduduk (JMB), Pangsapuri Taman Seri Setanggi
Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Penduduk (JMB) Pangsapuri Taman Seri Setanggi, Azmi Yusuf, berkata pelbagai aduan sudah dibuat kepada pemaju namun belum menampakkan kesan positif sekali gus menyukarkan penduduk menyelesaikan urusan harian.

“Kebanyakan wayar bumi di sekitar 15 blok ini rosak akibat dicuri. Namun, pemaju kelihatan membiarkan masalah ini berterusan berikutan tempoh liabiliti mereka bakal berakhir sebelum pengurusan bangunan ini diserahkan kepada JMB mulai November depan.

“Kami kesal kerana pemaju bersikap lepas tangan dengan membiarkan keadaan semakin serius, sekali gus memperjudikan nyawa penduduk terhadap risiko kebakaran seperti berlaku terhadap Pangsapuri Desa Mutiara akibat pengaliran arus elektrik daripada wayar bumi yang disambar petir,” katanya.

Azmi berkata, penduduk turut berdepan kerosakan perkakasan elektrik di rumah masing-masing berikutan sistem pendawaian yang tidak sempurna, di samping hidup terganggu akibat kebocoran pada lantai dan saluran paip.
“Kita berharap kerajaan negeri mengambil langkah proaktif kerana ini membabitkan keselamatan keluarga berpendapatan rendah yang kini dihimpit pelbagai masalah selain dihimpit kerenah birokrasi, " katanya.

Pekerja am, Mohd Sabri Bakri, 47, berkata walaupun rumah yang didiami sejak setahun tidak mengalami kerosakan teruk, namun keluarganya terpaksa berdepan air yang menitis hingga mengakibatkan siling rumahnya basah.

“Saya percaya siling bahagian bilik tidur utama rumah saya tidak dipasang penerap air hingga menyebabkan keadaan seperti mengalami kebocoran paip. Sebagai alternatif, kami terpaksa menadah air yang menitis menggunakan baldi supaya tidak meninggalkan bau busuk,” katanya.

Suri rumah, Jurah Hasan, 64, yang mendiami rumah berkenaan bersama anaknya kira-kira enam bulan lalu, berkata urusan harian mereka terganggu apabila kerap mengalami gangguan bekalan air.

“Masalah ini semakin serius pada dua tingkat terakhir kerana tekanan air rendah sekali gus menyebabkan kerja harian tergendala sementara menunggu bekalan air pulih selepas tengah malam dan memerlukan penduduk menadah terlebih dulu,” katanya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: