Friday, October 14, 2011

TUGAS TENTERA SEBAGAI TENAGA PENGAJAR


ANGGOTA Angkatan Tentera Malaysia berkawal di jeti Pulau Berhala untuk mengawal keselamatan pulau itu dari dicerobohi oleh pengganas dan pendatang haram.


PELUANG berkunjung ke Pulau Berhala kira-kira dua batu nautika dari Sandakan, Sabah baru-baru ini mengubah persepsi penulis terhadap tugas anggota tentera terutama dari perspektif kemanusiaan.

Selama ini penulis beranggapan tugas mereka terbatas kepada kawalan keselamatan dan menjaga ketenteraman awam.

Bagaimanapun, semuanya berubah apabila penulis mengiringi rombongan Platun Media Rejimen 515 Askar Wataniah diketuai Leftenan Kolonel Richard Santhanasamy dan Mejar Khairuddin Ismail.

Rombongan ini singgah di Pulau Berhala yang menempatkan markas taktikal Regimen Askar Melayu Diraja dengan 200 anggota di bawah Ops Pasir iaitu operasi keselamatan untuk menangani ancaman kumpulan bersenjata di perairan Sabah.

Ops Pasir yang membabitkan pelbagai divisyen agensi penguat kuasa dilancarkan selepas insiden penculikan sekumpulan pelancong dari Pulau Sipadan pada tahun 2000 oleh sekumpulan lelaki bersenjata dari selatan Filipina.


ADA antara anak-anak Bajau ini mampu membaca dan fasih berbahasa Malaysia hasil daripada program Jiwa Murni.


Walauapapun, sumbangan anggota tentera di pulau itu melampaui tugas hakiki mereka. Mereka bukan sahaja mengawal keselamatan pulau berkenaan malah melaksanakan tanggungjawab sosial melalui program Jiwa Murni bagi penduduk pulau.

Program ini telah memanfaatkan kira-kira 1,000 penduduk Muslimin yang rata-ratanya dari suku kaum Bajau dan Sulu.

Program Jiwa Murni bermula sejak tahun 2006 apabila sekumpulan anggota tentera yang bertugas di pulau itu mendapati kebanyakan kanak-kanak di situ tidak berpeluang untuk bersekolah.

Pendidikan formal tidak dapat disediakan oleh pihak berkuasa bagi penduduk pulau kerana mereka tidak mempunyai dokumen untuk mengesahkan kewarganegaraan. Ia bertambah sukar kerana penduduk di Pulau Berhala dibelenggu kemiskinan dan tidak berpeluang meneruskan pendidikan.

Tenaga pengajar


SESI pembelajaran kendalian Korperal Abdul Rahman Hamdan (tengah) ternyata disenangi oleh sekumpulan pelajar remaja.


Bertitik-tolak daripada keadaan itulah, Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dengan inisiatif sendiri telah menyediakan anggotanya untuk menjadi tenaga pengajar tanpa sukatan khas bagi mengajar 50 pelajar.

Pelajar-pelajar tersebut mengikuti pendidikan asas seperti membaca, menulis dan mengira (3M).

Koperal Abdul Rahman Hamdan, 30, seorang anggota tentera yang juga berperanan sebagai guru sekolah berkata, penduduk Pulau Berhala berhijrah dari Filipina sejak lebih 100 tahun lalu.

“Taraf pendidikan penduduk di Pulau Berhala rata-ratanya masih rendah malah sehingga kini tidak ramai yang berupaya bertutur dalam bahasa Melayu.

“Sehubungan itu, anggota tentera yang ditempatkan di Pulau Berhala bukan sekadar mengawal keselamatan pulau yang berkeluasan lima hektar ini, tetapi kami juga menjadi guru kepada 60 kanak-kanak dan remaja di pulau ini.


PREBET Amran Jaafar (kanan) mengajar remaja dengan penuh dedikasi.


“Sistem pelajaran 3M menjadikan anak-anak ini celik huruf,” kata Abdul Rahman.

Abdul Rahman yang dibantu oleh rakannya, Prebet Amran Jaafar mengajar dari pukul 8 pagi hingga 12 tengah hari pada Isnin hingga Jumaat di Dewan 3M, pulau itu.

Beliau mengajar kanak-kanak berkenaan tanpa jemu dan mereka sentiasa berusaha belajar walaupun sesetengahnya kelihatan agak malu-malu.

Seorang pelajar, Masniza Salafuddin, 16, dengan raut wajah yang disalut bedak sejuk, begitu teruja apabila disuruh oleh gurunya membaca.

Dengan lancar beliau membaca ayat-ayat bahasa Inggeris yang ditulis di papan hitam di hadapannya.

“Kalau diberi peluang suatu hari nanti saya mahu jadi askar. Kerja sebagai askar dapat tolong kawan-kawan yang tidak tahu membaca,” katanya sambil menoleh kepada rakan-rakannya yang bermain di padang bersebelahan Dewan 3M.

Masniza mengimpikan suku kaumnya itu akan lebih maju pada masa akan datang dan beliau memandang tinggi kerjaya sebagai askar.

Subjek asas

Pembelajaran 3M terbahagi kepada tiga sesi iaitu sesi pertama melibatkan murid berumur antara empat hingga tujuh tahun, sesi kedua lapan dan 11 tahun manakala sesi ketiga untuk pelajar berumur 13 dan 17 tahun.


DEMI keselamatan negara, anggota tentera dengan penuh komited dan dedikasi mengawal perairan negara daripada dicerobohi pengganas.


Menerusi kaedah ini, setiap pelajar diajar asas subjek bahasa Inggeris, bahasa Melayu, Matematik dan tulisan Jawi serta Sejarah.

Penduduk tempatan, Bensun Ismail, 52, yang juga pengendali feri dari Pulau Berhala ke Sandakan berkata, sebelum ini penduduk pulau rata-rata buta huruf dan bekerja sebagai nelayan tradisional.

“Kami memang buta huruf. Tetapi apabila ada sekolah 3M ini, anak-anak kami gembira kerana dapat belajar.

“Dengan adanya program kemasyarakatan daripada Rejimen Askar Melayu Diraja, anak-anak kami semakin teruja untuk belajar dan mampu berkomunikasi dalam bahasa Melayu dengan lebih baik,” katanya yang membayangkan kehidupan anak-anak di pulau itu akan lebih terjamin pada masa akan datang.

Selain menjadi nelayan, ekonomi penduduk Pulau Berhala turut bergantung kepada aktiviti penternakan dan perniagaan runcit. Sungguhpun serba sederhana, kehidupan mereka jauh lebih baik pada masa kini.

“Sebelum ini, kami sering berdepan dengan ancaman pencerobohan nelayan asing, penculikan dan rompakan yang dilakukan oleh penjenayah dari negara jiran.

“Saya mewakili seluruh penduduk di sini berharap agar usaha murni angkatan tentera ini dapat mendidik anak kami dan menjaga keselamatan kami.

“Kini, hidup kami semakin baik dan kami harap usaha murni pihak tentera menerusi Ops Pasir akan berterusan,” katanya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: