![]() |
| NOR IDAYU IDRIS pernah gagal kali pertama, namun kejayaannya meraih ganjaran wang tunai RM12,000 ini hasil percubaan kali keduanya. |
DENGAN hanya meneka perkataan ‘Engkau’, akhirnya Nor Idayu Idris telah berjaya membawa pulang hadiah wang tunai RM12,000 dalam kempen Perkataan Pertama Kembali di Sinar FM yang dianjurkan oleh stesen radio popular tersebut.
Menerusi kempen yang diadakan pada bulan September lalu, Idayu menjadi peserta yang merangkul hadiah paling lumayan apabila memberi jawapan tersebut yang juga perkataan pertama untuk lagu berjudul Sekuntum Bunga Sakura di Gurun Sahara nyanyian kumpulan Mega.
“Sebenarnya sebelum ini saya pernah menyertai kempen yang sama pada bulan Mac yang lalu, tetapi gagal menjawab dengan tepat. Pada kali kedua ini barulah saya berjaya dan gembira kerana memenangi wang yang cukup lumayan.
“Kalau dalam percubaan pertama dahulu saya agak gugup, pengalaman lalu telah mengajar saya untuk lebih bersedia dan sentiasa menantikan peluang menghubungi konti Sinar FM untuk memberi jawapan yang tepat,” ujarnya pada majlis penyampaian hadiah kepada para pemenang baru-baru ini.
Menurutnya lagi, ketika berjaya menembusi panggilan pada 11 September yang lalu, dia beruntung kerana turut dibantu oleh abangnya yang merupakan seorang peminat lagu-lagu yang popular pada era 90-an.
“Saya sangat bertuah kerana saya dan abang mengetahui lirik lagu yang diputarkan oleh penyampai Zaidi Zainal ketika itu. Walaupun masa yang diberikan agak singkat, namun saya berasa sangat lega kerana dapat menjawab dengan tepat,” ujarnya.

Mengenai hadiah wang tunai lumayan yang telah dimenangi itu, Idayu menjelaskan setakat ini dia mahu berkongsi dengan ahli keluarganya dan mengagihkan sedikit kepada abangnya.
Kempen Perkataan Pertama Kembali di Sinar FM merupakan sebuah kuiz yang memerlukan para pendengar setia radio tersebut meneka dengan tepat perkataan pertama untuk sesebuah lagu yang diputarkan oleh penyampai dalam tempoh 10 saat.
Sejak ia berlangsung sepanjang bulan September, seramai 22 orang pendengar yang berjaya meneka dengan tepat dan memenangi hadiah wang tunai di antara RM300 sehingga RM12,000.
Sementara itu, Pengurus Saluran Sinar FM, Rostam Said yang ditemui berkata, sambutan yang diterima ternyata sangat menggalakkan berbanding ketika ia diadakan buat kali yang pertama sebelum ini. Sebanyak RM70,000 diperuntukan untuk diberikan kepada pemenang.
Ditanya sama ada kempen tersebut akan diteruskan lagi pada masa hadapan, Rostam menjelaskan, pihaknya masih belum mempunyai sebarang perancangan buat masa ini biarpun mendapat permintaan yang ramai daripada pendengar.
“Kalau boleh kami mahu terus menganjurkan kempen-kempen yang menarik kepada pendengar dan kalau ada pun mungkin menerusi konsep yang berbeza. Namun, itu semua masih belum dapat ditentukan lagi,” jelasnya yang mengepalai radio paling popular di Malaysia dengan jumlah pendengar seramai 4.1 juta orang itu.

No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: