Wednesday, October 12, 2011

TST senjata tingkatkan zakat perniagaan


Menunaikan zakat bukan sahaja membersihkan harta tetapi juga menambah keberkatan dalam hidup. – Gambar hiasan


JIKA terlintas di fikiran bahawa menunaikan zakat adalah satu beban, maka ingatlah janji Allah menerusi ayat di atas. Allah melipatgandakan harta hamba-Nya yang membelanjakan pada jalan-Nya iaitu melalui berzakat dengan rezeki yang tidak disangka-sangka.

Ayat itu juga menjelaskan kewajipan menunaikan rukun Islam yang keempat itu bukan untuk menyusahkan, tetapi pelaburan untuk saham akhirat di samping memperoleh keberkatan harta di dunia.

Zakat adalah proses pembersihan harta dan juga hati daripada sifat keji seperti berdendam, iri hati dan hasad dengki. Sifat tersebut akan terus wujud dalam masyarakat Islam jika tidak dididik untuk memupuk semangat kasih sayang dan saling bersimpati menerusi pemberian zakat.

Firman Allah SWT yang bermaksud: Ambillah zakat dari sebahagian harta mereka, dengan zakat itu kamu membersihkan dan menyucikan mereka, dan mendoakan mereka. Sesungguhnya doa kamu itu (menjadi) ketenteraman jiwa bagi mereka. Dan Allah Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui. (at-Taubah: 103).

Sesetengah ulama menafsirkan ayat ini dengan zakat mampu membersihkan hati daripada syirik, sifat bakhil dan kedekut serta terhindar daripada penyakit dan bala bencana.

Sehubungan itu, Pusat Pungutan Zakat (PPZ) Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) mengambil inisiatif menggiatkan aktiviti yang dapat memberi kesedaran terhadap masyarakat terhadap kewajipan zakat.

Pengurus Kanan Operasi PPZ MAIWP, Abdul Hakim Amir Osman berkata, pihaknya memfokuskan kepada kutipan zakat perniagaan pada tahun 2011 dan mengisytiharkan sebagai Tahun Zakat Perniagaan.

Beliau berkata, walaupun kutipan zakat perniagaan adalah penyumbang kedua terbesar selepas zakat pendapatan, tetapi di Wilayah Persekutuan ia masih belum mencapai sasaran.

Katanya, pada 2011, hanya 1,429 syarikat yang membayar zakat dengan jumlah kutipan RM33.6 juta.

Jumlah itu hanya 35 peratus daripada jumlah keseluruhan syarikat yang berpotensi menunaikan zakat perniagaan iaitu daripada 4,071.

“Masih ada 2,642 syarikat berpotensi yang masih belum menunaikan zakat. Anggaran kutipan keseluruhan zakat perniagaan daripada syarikat berkenaan kira-kira RM62.16 juta,” katanya pada pertemuan dengan Mega, baru-baru ini.

Abdul Hakim berkata, ada syarikat tidak berzakat kerana beranggapan ia tidak memberi keuntungan berbanding faedah yang diperolehi jika menderma.

“Syarikat yang membayar zakat hanya diberi tolakan cukai korporat sebanyak 2.5 peratus daripada pendapatan bersih. Sedangkan jika menderma, mereka mendapat tolakan 10 peratus.

“Selain itu, tiada peruntukan zakat dimasukkan dalam akaun belanjawan syarikat tersebut. Perkara ini membuatkan syarikat mengelak untuk menunaikan zakat,” jelasnya.

Sehubungan itu, pihaknya memperkenalkan projek Tarbiah Syarikat Tersenarai (TST) untuk mendekati syarikat berkaitan kerajaan (GLC) supaya menunaikan zakat.

Pada masa yang sama, PPZ juga memohon kerajaan mempertimbangkan kenaikan kadar tolakan cukai daripada 2.5 peratus kepada 10 peratus.

Syarikat yang ingin membuat taksiran zakat atau membayar zakat boleh mengunjungi PPZ MAIWP di Karnival Halfest mulai hari ini hingga 16 Oktober di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) Kuala Lumpur.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: