
Industri orkid mempunyai nilai jutaan ringgit dan Malaysia merupakan salah sebuah negara yang kaya dengan kepelbagaian jenis orkid yang unik dan eksklusif.
Malah tumbuhan hiasan ini turut diminati peminat bunga di seluruh dunia dan permintaan terhadapnya terus meningkat saban tahun.
Sebagai sebuah negara yang memiliki kepelbagaian spesies orkid adalah sesuatu yang merugikan kita tidak memberi tumpuan kepada industri tanaman hiasan tersebut.
Untuk meningkatkan industri orkid tempatan agar muncul sebagai pemain utama di dalam bidang tersebut, penggunaan teknologi tinggi amat diperlukan.
Demikian ditegaskan oleh penyelidik Jabatan Biokimia, Fakulti Bioteknologi dan Sains Biomolekul, Universiti Putra Malaysia (UPM), Prof. Dr. Maziah Mahmood.
Katanya, melalui teknologi terkini pelbagai spesies orkid dapat dihasilkan.
"Ia bukan sahaja dapat memperbaiki kualiti bunga, kepelbagaian variasi serta penghasilan dalam skala yang lebih besar malah melalui teknologi, spesies orkid di habitat asal dapat dilindungi.
"Jika dahulu peminat orkid akan mendapatkan tumbuhan tersebut di hutan, tambahan bagi spesies yang unik dan eksklusif," ujarnya.
Namun, melalui teknologi terkini spesies orkid liar akan terus terpelihara dan orkid untuk tujuan komersial akan dapat dihasilkan pada skala yang lebih besar.
Beliau berkata demikian ketika memperkenalkan Teknologi Meningkatkan Industri Orkid di UPM, Serdang, Selangor baru-baru ini.
Tambah Dr. Maziah, industri orkid negara kini sedang berdepan dengan saingan sengit dari negara-negara jiran seperti Thailand, Indonesia, Taiwan malah tidak ketinggalan Singapura.
Negara-negara tersebut katanya, memiliki kemajuan yang lebih baik dalam teknologi pengkulturan, pembiakbakaan serta mampu memperbaiki kualiti baka yang dikeluarkan.
Pun begitu katanya, Malaysia juga turut tidak ketinggalan memperbaiki serta membangunkan teknologi terkini untuk merangsang industri orkid di negara ini.
Menurut Dr. Maziah, perkembangan industri orkid negara telah menemukan teknologi pengklonan yang lebih dikenali sebagai kultur tisu.
"Kultur tisu merupakan penemuan penting dalam industri ini (orkid) kerana proses pembiakbakaan tidak lagi memerlukan biji benih sebaliknya menggunakan cebisan atau keratan kecil daripada tumbuhan tersebut.
"Perkembangan teknologi ini sejak beberapa tahun kebelakangan, pihak kami juga turut berjaya menghasilkan teknologi atau produk yang boleh meningkatkan industri orkid negara," katanya.
Terdapat tiga produk atau teknologi yang berjaya beliau hasilkan iaitu formula media yang sangat efektif untuk proses pembiakbakaan dan formula bagi mempercepatkan proses pembungaan.
Terakhir adalah kaedah efektif memastikan hasil bungaan mengeluarkan warna yang sebenar.
Ia berbeza dengan teknologi sedia ada yang mana agak lambat dan proses pembiakan anak benih yang tidak berapa cekap berbanding produk yang dihasilkan lebih cepat, murah serta mesra alam.
Sehingga teknologi tersebut ditemui, di Malaysia masih belum terdapat produk sedemikian.
Jelas Dr. Maziah, kebanyakan produk untuk orkid yang terdapat di pasaran adalah khusus untuk tujuan pembajaan sahaja.
"Manakala formula media yang dihasilkan oleh penyelidik UPM adalah bertujuan untuk penghasilan orkid yang lebih banyak tanpa perlu mengganggu biodiversiti orkid yang liar yang sedia ada," ujarnya.
Melalui penggunaan media terbaru itu, dijangkakan anak benih orkid dapat dihasilkan dengan lebih banyak dalam masa yang singkat.
Ia sekali gus dapat menampung permintaan serta dieksport ke luar negara dalam kuantiti yang banyak.
Manakala produk kedua dikenali sebagai Florexin, mampu mempercepatkan proses pembungaan melalui kaedah semburan.
Florexin dikatakan merupakan produk generasi kedua yang lebih cair dan mudah digunakan berbanding generasi pertama yang dihasilkan dalam bentuk lebih pekat.
Terakhir adalah satu produk yang dapat menentu atau menanda pada awal pertumbuhan orkid untuk memastikan warna bunga yang akan dihasilkan.
Jelas Prof. Dr. Maziah lagi kesemua produk tersebut masih belum dikomersialkan berikutan pihaknya masih menanti pihak industri yang berminat untuk memasarkannya.
"Kita menyasarkan mereka dari golongan pekebun kecil, pemilik pusat jagaan anak pokok serta peminat-peminat orkid," katanya.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: