Tuesday, October 18, 2011

Taraf hidup lebih baik


MAJORITI peniaga di Pasar Tamu di Felda Umas terdiri daripada wanita.


FELDA Gugusan Umas, Tawau, Sabah cukup istimewa. Berbeza dengan Felda-Felda yang bertapak di Semenanjung Malaysia, Felda ini didiami seramai 776 peneroka yang terdiri daripada lebih 30 kumpulan etnik yang berbeza.

Ada antara mereka yang berasal dari suku kaum Bajau Semporna, Bajau Laut, Bugis, Penan, Cina, Kadazan, Bisaya dan lain-lain lagi.

Meskipun majoriti warga Felda itu sudah melakukan transformasi terhadap kediaman mereka, pesona rumah tradisional yang masih dikekalkan oleh sesetengah daripada mereka ternyata mencuri pandangan.

Tiada cacat-celanya Felda ini. Segala prasarana seperti jalan berturap, sekolah, klinik, masjid, elektrik, bekalan air, telefon, kemudahan sukan, pusat perniagaan dan jeti di sediakan.

Seorang penduduk yang juga peniaga di pasar tamu di Tawau, Malina Bakri, 40, menyatakan rasa bertuahnya dengan kemajuan yang dikecapi sekarang.

“Saya sudah berniaga di sini kira-kira dua dekad, semuanya cukup dan kami gembira dengan perhatian yang diberi kerajaan,” katanya yang menjual barangan basah seperti ikan dan sayur-sayuran.

Rakannya, Umaisahayah Marasarin, 39, senada dengan Malina. Dia yang berniaga lebih 30 tahun di situ bersyukur kerana dia mampu menjana pendapatan sekitar RM3,000 sebulan.

“Dulu kami hidup susah tapi sekarang ini kami gembira kerana kami bukan saja berasa selesa malah pada masa sama dapat menikmati kehidupan yang aman damai dengan puluhan etnik lain,” katanya.

Bagaimanapun, cuma satu permintaan penduduk di sana. Mereka sepakat mahu kerajaan menimbangkan pembinaan sebuah pejabat pos dan bank untuk memudahkan urusan harian mereka.

Semasa kunjungan media ke Felda Umas sempena Karnival Iktiraf Media 2011 anjuran Seranta, Jabatan Perdana Menteri (JPM) baru-baru ini, kemeriahan dan keharmonian masyarakat di Felda tersebut cukup jelas.

Keriangan kanak-kanak bermain di padang permainan, keriuhan belia bersukan dan kesungguhan peniaga menjalankan perniagaan di pasar tamu, mewujudkan atmosfera yang sangat menyenangkan.


PROJEK biogas di Felda Umas yang membabitkan kos kira-kira RM11.4 juta ini cukup untuk menyalurkan bekalan elektrik kepada kepada kesemua penduduk pada tahun depan.


Projek biogas

Kedai D’Mart yang menjual barangan yang murah membuatkan masyarakat setempat tidak perlu berbelanja ke bandar Tawau yang terletak kira-kira 80 kilometer (km) dari situ.

Aura Felda Gugusan Umas itu turut menambat perhatian Pengerusi Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda), Tan Sri Mohd. Isa Abdul Samad yang mengadakan kunjungan selama dua hari ke situ.

Mohd. Isa turut mengambil kesempatan berehat di rumah agam yang berharga hampir RM2 juta milik peneroka berjaya Umas, Amarullah Sudin, 53.

“Momentum Felda di sini begitu membanggakan saya,” katanya.

Beliau turut meninjau lebih daripada 20 buah rumah untuk memberi sumbangan kepada belia orang kurang upaya (OKU) di sana.

Secara keseluruhannya, kata Mohd. Isa, terdapat sembilan tanah rancangan Felda di Sabah dengan bilangan peneroka seramai kira-kira 1,600 orang. Di Felda Umas sahaja terdapat empat rancangan iaitu iaitu Umas 1, Umas 2, Umas 3 dan Umas 4.

Meskipun jumlah peneroka di sana kecil berbanding lebih 100,000 peneroka di Semenanjung, Mohd. Isa menegaskan, tiada istilah mereka dipinggirkan.

Buktinya, pihaknya sedang dalam rangka akhir dalam menyalurkan tenaga elektrik daripada loji biogas kilang minyak sawit di Felda berkenaan.

“Setakat ini, kira-kira 80 peratus kerja-kerja yang membabitkan kos kira-kira RM11.4 juta sudah disiapkan dan kita menjangkakan ia akan siap dan beroperasi sepenuhnya pada tahun depan.

“Saya sangat berharap dengan adanya kemudahan ini, kita dapat membekalkan bekalan elektrik secukupnya di Felda itu,” ujar Mohd. Isa.

Sementara itu, mengulas mengenai Program Karnival Iktiraf Media 2011 yang dianjurkan oleh Seranta, Pengarahnya, Noor Ehsanuddin Mohd. Harun Narrashid berkata, ia merupakan platform kepada pengamal media untuk mendasari kehidupan warga felda secara dekat.

Keluarga angkat

“Selama ini ada yang mendengar sahaja, tapi kali ini, kami membawa anda menyelami dan merasai sendiri kehidupan dan rutin harian yang biasa dilakukan sehari-hari,” katanya.

Semasa karnival, kesemua anggota media berpeluang mendekati kehidupan tempatan dengan ditempatkan di rumah keluarga angkat.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: