Thursday, October 13, 2011

Tambah 4 rangkaian

Mohamad Sabri Mohamed Nor
Mohamad Sabri Mohamed Nor

BANK Kerjasama Rakyat Malaysia Bhd (Bank Rakyat) komited mengembangkan perniagaan francais perkhidmatan pajak gadai Islam, Ar-Rahnu X’change dengan membuka empat lagi rangkaian tahun ini menjadikan jumlah keseluruhan francaisnya kepada 28 cawangan menerusi anak syarikatnya, Rakyat Management Services Sdn Bhd (RMS).

Pengurus Besar RMS, Mohamad Sabri Mohamed Nor berkata, empat lokasi cawangan itu terletak di Meru (Selangor), Segambut (Kuala Lumpur), Simpang Ampat (Pulau Pinang) dan Bandar Tasik Permaisuri, Cheras (Kuala Lumpur).


“Pajak gadai Islam adalah satu kaedah sumber pinjaman kewangan yang mudah dan bebas daripada riba. Di Ar-Rahnu kita menggunakan Konsep Qardhul Hassan iaitu pinjaman tanpa faedah dan digabungkan dengan konsep Wadiah Yad Dhamanah dengan memberi jaminan barang yang disimpan selamat, mempunyai ciri-ciri keselamatan serta insurans takaful.

“Berbanding dengan pajak gadai konvensional, peminjam pajak gadai Islam tidak dikenakan bayaran faedah dan hanya perlu membayar kadar upah menyimpan emas terbabit. Jika berlaku kehilangan disebabkan pecah masuk, kami memberi jaminan barang itu akan diganti sebagaimana nilai ketika ia digadaikan,” katanya ketika ditemui baru-baru ini.


Mohamad Sabri berkata, buat masa ini peminjam di francais Ar-Rahnu X’change mencecah hampir 100,000 orang dengan nilai gadaian kira-kira RM346 juta.


“Ar-Rahnu X’Change menjadi satu sumber alternatif pengguna dalam mendapatkan pembiayaan atas pelbagai faktor seperti membuat modal perniagaan, kecemasan, melanjutkan pendidikan serta pelaburan yang mendapat sambutan bukan saja daripada masyarakat Islam, malah bukan Islam.

“Ketika ini semua 24 francais Ar-Rahnu X’change di uruskan koperasi yang berjaya menjana pendapatan kasar antara RM200,000 hingga RM300,000 sebulan dan kini menjadi sebahagian projek membaik pulih koperasi yang tenat. Kejayaan perniagaan ini telah dibuktikan dan kami bercadang memperluaskan francais ini ke Brunei dan Indonesia dalam tempoh setahun akan datang,” katanya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: