Sunday, October 2, 2011

Shahril tak tahu diam


Shahril


ADA orang yang suka mencari waktu senggang untuk merehatkan diri. Tapi ada juga yang tak pandai duduk diam. Kalau tak ada kerja mereka akan melakukan apa sahaja agar tiada masa terbuang.

Anak muda penghias ruangan Kacak Bergaya minggu ini, Mohamad Shahril Adnan juga jenis yang tak tahu nak duduk diam. Kalau tiada apa yang mahu dilakukan, dia akan gelisah mencari kerja.

Nasib baik dia giat ke gimnasium berdekatan rumahnya di Kajang, Selangor. Kalau tiada apa yang mahu dilakukan, dia akan ke gimnasium untuk mengekalkan stamina dan kecergasan badan.

"Saya memang tak tahu nak duduk diam. Masa bersekolah dulu, saya pernah bekerja sambilan pada hujung minggu. Dapat juga wang di samping mengisi masa luang,” katanya.

Shahril atau lebih mesra dipanggil Aryl seorang yang aktif bersukan semasa di bangku sekolah. Selepas tamat sekolah dia mula giat ke gimnasium kerana teruja melihat orang lain yang memiliki susuk tubuh yang menarik.

"Dua tahun lalu badan saya kurus sahaja, sebab itu saya rajin ke gimnasium untuk membina otot-otot badan. Pada masa mula-mula aktif di gimnasium, saya peruntukkan masa lima kali seminggu tanpa henti selama tiga bulan,” jelasnya lagi.

Aryl juga mula berjinak-jinak dengan peragaan. Minat dalam bidang peragaan sudah bercambah sejak di kolej lagi,

tapi sebab dia belajar di luar Lembah Kelang, terpaksalah ditangguhkan dahulu.

"Sekarang baru saya boleh mencuba bidang ini," kata Aryl yang kini menggunakan khidmat agensi bakat Jamal Tommy Talent Agency untuk mencari peluang kepadanya.

Peminat setia pasukan bolasepak negeri Selangor ini juga berharap dapat peluang mencuba nasib dalam bidang yang diminatinya sejak lama itu. Sebagai orang baru dia menyerahkan kepada orang yang lebih berpengalaman.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: