Tuesday, October 11, 2011

Sampah jadi sumber rezeki


Che Ros memulakan tugasnya mengutip sampah di pusat pengumpulan sampah Projek Perumahan Rakyat Sri Gombak, Gombak, Selangor seawal 8 pagi.


BERGELAR ibu tunggal tidak semestinya hanya tahu merintih mengenang nasib sambil menunggu orang datang memberi bantuan.

Sebaliknya ramai ibu tunggal yang gigih menyara keluarga dengan rezeki yang halal termasuk melakukan kerja-kerja yang di mata orang lain mungkin kotor dan menjijikkan.

Ini dibukti seorang ibu tunggal, Che Ros Mohamad, 38, yang tidak kisah berkerja mengutip sampah demi rezeki halal yang mahu disuapkan pada mulut anak-anaknya.

Biarpun bagi orang lain longgokan sampah menggelikan apatah lagi dengan bau yang meloyakan, namun ia lubuk rezeki bagi ibu tunggal ini.

"Mungkin kerja ini nampak kotor sebab berurusan dengan sampah dan bahan-bahan buangan tetapi kerja ini adalah rezeki halal untuk kami sekeluarga.

"Memang adakalanya pandangan negatif masyarakat menyentuh hati tetapi saya pekakkan telinga sebab sebagai ibu saya bertanggungjawab memberi anak-anak makan dan menyekolahkan mereka,'' katanya yang berkerja sebagai pengutip sampah di pusat pengumpulan sampah di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Gombak Setia, Gombak, Selangor.

Menurut Che Ros, bukan tidak pernah berusaha mencari kerja lain tetapi anak-anak yang masih kecil dan menagih perhatian memerlukan dia untuk bekerja dekat dengan kawasan rumah.

Malah, dia pernah bekerja sebagai pencuci bangunan di sebuah pusat beli-belah di ibu kota tetapi terpaksa berhenti kerana mengenang anak-anak di rumah tanpa pengawasan.

Dia mengambil keputusan mencari kerja lain dan kebetulan pihak pengurusan pusat pengumpulan sampah di kawasan perumahannya memerlukan pekerja di bahagian pengutipan sampah.

"Saya cuba mohon kerja di situ dan Alhamdulillah diterima,'' ujarnya ketika ditemui pada majlis pemberian sumbangan kepada keluarga ibu tunggal di Rumah Perlindungan dan Anak-Anak Yatim Rhaudatul Jannah di Taman Pelangi, Sentul, Kuala Lumpur baru-baru ini.

Ceritanya lagi, biarpun kerja tersebut membuatkan dia bergelumang dengan sampah-sarap tetapi yang penting berdekatan dengan kawasan rumah dan anak-anak juga mudah diawasi.

Che Ros juga bersyukur anak-anak juga tidak pernah memandang rendah atau memperlekehkan pekerjaan ibu mereka.

Hasil daripada kerja itulah dia menyekolahkan anak-anak serta menanggung makan dan minum mereka selepas kematian suaminya, Arifin Zulkiflin Sim kira-kira tujuh tahun lalu akibat kemalangan di tempat kerja.

"Saya bersyukur, walaupun hanya sebagai pengutip sampah anak-anak menghargai penat lelah saya dengan membayarnya melalui kejayaan dalam pelajaran,'' katanya bangga.

Anak sulungnya, Mohamad Amar Khusairi Arifin, 16, kini belajar di Sekolah Menengah Teknik Manjong, Perak, manakala anak kedua, Mohamd Addie Khusairi , 15, sedang menjalani Peperiksaan Menengah Rendah (PMR) di Sekolah Menengah Setapak Indah, Kuala Lumpur dan anak ketiga, Siti Aisyah, 14, belajar di sebuah sekolah agama bantuan penuh di Kampung Gajah, Perak.

Anak ke empat dan kelima, Yasin, 12, dan Siti Fatimah, 10, masing-masing masih bersekolah rendah.

"Sejak kecil saya pastikan mereka mendapat pendidikan yang secukupnya kerana saya mahu mereka berjaya dan tidak perlu mewarisi pekerjaan yang saya buat sekarang.

"Saya mahu mereka menjadi orang berguna dan dapat membuktikan orang miskin juga boleh berjaya,'' ujarnya .

Melihat kepayahan yang dilalui, dia mengakui ada saudara-mara menawarkan diri untuk mengambil anak-anaknya sebagai anak angkat.

"Tetapi selagi saya masih hidup dan boleh bekerja biarlah saya jaga sendiri. Biarpun makan berlaukkan garam mereka tetap akan bersama saya.

"Mereka adalah harta saya. Malah, ini sahaja harta yang ditinggalkan oleh suami kepada saya," kata wanita berasal dari Batu Gajah, Perak ini.

Walaupun sekadar berpendapatan RM800 sebulan, bagi Che Ros ia tetap mencukupi untuk dia memastikan anak-anak hidup selesa.

Malah bagi menambah pendapatan kadang kala pada hujung minggu dia mengambil upah mengemas rumah orang.

"Memang tak mewah tapi yang penting anak-anak cukup makan dan pakai.

"Bagi saya asalkan rajin berkerja Tuhan pasti akan bagi ganjarannya," katanya yang turut bersyukur dan berterima kasih kerana mempunyai jiran-jiran yang murah hati.

Bagi Che Ros seluruh hidupnya kini adalah untuk anak-anak, jadi dia perlu kuat dan tidak boleh rebah dengan cabaran serta masalah yang dihadapi.

Sebagai wanita, dia mengakui kadang kala lemah dan pernah merasai pasrah dengan kehidupan, namun mengenangkan masa depan anak-anak dia bingkas bangun untuk tidak terus bersedih terutama ketika selepas kehilangan suami.

"Masa mula-mula suami meninggal memang saya merana tetapi mengenangkan anak-anak saya bangun perlahan-lahan dan cekalkan diri,'' ujarnya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: