
Wajah dua figura ini, mungkin asing di mata peminat industri tanah air. Namun tidak keterlaluan mengatakan, dua anak muda ini adalah antara bintang mula menyinar dan sedang mencipta nama di persada seni.
Jika si cantik lahir dari program pencarian Dewi Remaja 2010/2011 anjuran majalah Remaja terbitan Kumpulan Media Karangkraf, si kacak pula terpaksa berhempas pulas untuk mencari ruang dan peluang dalam industri seni.
Bagaimanapun, gandingan pertama dua artis muda ini, membuatkan mereka nampak gelisah lebih-lebih lagi Sabhi Saddi yang kelihatan malu-malu apabila Anzalna berada di sisi.
“Bagi saya Sabhi seorang pemalu tetapi dia mudah didekati dan tidak sombong. Sebenarnya saya begitu minat dengan lagu Nadiku dan tidak sangka dapat berjumpa penyanyi lagu itu dengan lebih dekat,” kata Anzalna sebaik diajukan mengenai Sabhi.
Pengalaman beraksi di depan kamera tidak memberi masalah besar buat Anzalna dan Sabhi kerana keduanya pernah bergelar model sebelum aktif di dalam bidang seni.
Tatkala diajukan mengenai Anzalna, Sabhi mengakui dia seorang yang pemalu dan cepat gemuruh apabila ada perempuan di sebelah.
“Anzalna bagi saya seorang gadis cantik dan mudah didekati. Sepanjang bersamanya, saya lihat dia seorang peramah dan gila-gila.
“Saya akui saya memang pemalu, lebih-lebih lagi dengan perempuan, mungkin sebab itu saya masih single sehingga sekarang,” seloroh Sabhi di samping Anzalna ketika menyertai rombongan seniman prihatin ke Homestay Banghuris, Sepang baru-baru ini.
Sebaik diajukan mengenai karier, masing-masing mengakui rezeki mula datang mencurah-curah. Namun mereka tidak rakus untuk menerima semua tawaran.
Percubaan menjadi
Bercerita lanjut mengenai dunia lakonan, kata Anzalna, dia melihat apa yang berlaku dari sudut positif. Walaupun dalam waktu sama sedar bahawa persaingan juga sangat banyak.
“Kalau orang kata saya cantik, saya percaya ada ramai lagi bakat seangkatan saya yang tidak kurang cantiknya. Tambahan pula mereka berbakat. Saya masih baru dan banyak perkara perlu saya pelajari.
“Begitu pun, Alhamdulillah rezeki berpihak kepada saya. Selepas membintangi Suria Di Cardoba, saya ditawarkan membintangi Ramadan Terakhir. Telefilem itu mendapat maklum balas baik daripada penonton.
“Buat masa ini saya sedang terlibat dengan penggambaran Gemersik Kalbu yang akan ditayangkan di slot Akasia TV3. Selain dari itu, saya akan memulakan penggambaran dan ia merupakan filem pertama saya, Sepah The Movie bersama kumpulan Sepah dan Ramona,” katanya kepada Zass.
Menurut Anzalna, meskipun masih baru, dia tidak ragu-ragu untuk menerima tawaran berlakon filem apatah lagi apabila berpeluang digandingkan dengan kumpulan Sepah.
Mengakui tetap berdebar-debar dengan penampilan pertama di layar perak, Anzalna berharap akan dapat membuat yang terbaik untuk filem pertamanya itu.
Belum ketinggalan
Jika dibandingkan dengan rakan seangkatan dalam Dewi Remaja seperti Neelofa, Izara Aishah dan Ramona, nama Anzalna agak suram berbanding mereka.
Tatkala diajukan mengenai perkara itu, Anzalna mengakui dia lambat memulakan karier lakonannya.
“Selepas berakhir program Dewi Remaja, saya tidak tahu sama ada mahu berlakon atau menyanyi kerana saya minat keduanya. Lagi pula ketika itu teman lelaki saya tidak mengizinkan saya aktif di dalam bidang seni.
“Tetapi selepas memikirkan masak-masak dan ada masalah lain di dalam perhubungan kami, kami mengambil keputusan untuk memutuskan perhubungan. Manakala saya pula terus mengambil keputusan untuk berlakon.
“Mengenai Neelofa dan Izara, mereka memang layak untuk lebih dikenali kerana mereka adalah juara dan naib juara program itu. Ramona pula sebelum memasuki Dewi Remaja, dia pernah berkecimpung dalam bidang lakonan,” kata Anzalna yang sedikit pun tidak menyimpan rasa iri hati terhadap rakan-rakannya itu.
Tidak sekadar berlakon, Anzalna mengakui turut minat menyanyi. Malah dalam masa terdekat ini, dia akan bertemu dengan sifu idamannya, Datuk Ramli M.S untuk memperdengarkan suara.
“Bila Ramli M.S menghubungi saya, saya memang rasa teruja. Tetapi kita lihat nanti hasilnya bagaimana.
“Jika diberi peluang, saya teringin untuk menyanyi lagu berentak Latin,” katanya yang mahu fokus di dalam bidang lakonan dan nyanyian terlebih dahulu sebelum menerima tawaran untuk mengacara.
Bukan gadis liar
Di awal kemunculannya menerusi Dewi Remaja, beberapa keping gambar Anzalna semasa berada di luar negara tersebar menerusi ruangan siber, sehingga ada melabelkan Anzalna sebagai gadis liar.
Tidak cepat melatah, Anzalna mengakui gambar itu diambil semasa menetap di Australia, namun dia menafikan sekeras-kerasnya bahawa dia seorang gadis liar.
“Masuk kelab pun tidak pernah, apatah lagi minum. Mungkin pakaian saya membuatkan mereka berfikir saya seorang gadis liar. Tetapi selepas menetap di Malaysia, saya sudah mula mengubah cara berpakaian kerana tidak mahu mengundang kontroversi.
“Sebenarnya saya lebih gemar habiskan masa di rumah dan tidur awal. Kadangkala jam 10 malam saya sudah tidur. Jadi bila masa pula saya pergi ke kelab untuk bersosial,” katanya.
Tatkala di tembak mengenai teman lelaki, Anzalna mengakui baru menjalinkan hubungan dengan seorang jejaka bernama Hanif.
Jika kebanyakan selebriti memilih untuk merahsiakan mengenai soal peribadi, Anzalna berkata, dia harus berlaku jujur dengan peminat yang banyak memberi sokongan kepadanya.
Sabhi lebih terkenal di seberang
Walaupun kurang popular di negara sendiri, penyanyi Nadiku ini, lebih mendapat tempat di Indonesia.
Selepas berjaya menerusi single duet bersama Helena dengan lagu Tanpamu, Sabhi mengakui bakal mempromosikan single duet keduanya dinyanyikan bersama Vienna Fridiana iaitu Seperti Dulu Lagi.
Menurut Sabhi lagu itu kini mendapat tempat di hati pendengar Indonesia apabila ia menduduki tangga ke-2 dalam carta Hard Rock Fm dan tangga ke-4 dalam carta Mustang.
“Lagu ini bergenre pop RnB berinspirasi lagu duet Anang dan Syahrini. Susunan lagu ini juga mesra pendengar agar ia mudah diterima ramai. Bagi menampilkan kelainan, kami turut menggunakan khidmat komposer Indonesia, Andrew Darmoko,” ujarnya.
Penyanyi berumur 27 tahun ini turut memaklumkan pelancaran album penuhnya akan berlangsung di Indonesia terlebih dahulu.
“Insya-Allah, saya akan mengeluarkan sebuah album di Indonesia tak lama lagi. Mengenai lagu Seperti Dulu Lagi, ia akan diusulkan kepada stesen radio Malaysia mulai bulan November atau Disember ini,” katanya.
Tatkala diajukan mengenai rezekinya nampak lebih menyerlah di sana, Sabhi berkata, dia tidak merasakan terlalu dikenali di sana. Cuma mendapat kesempatan untuk bekerjasama dengan beberapa artis kerana mempunyai kenalan.
“Buat masa ini, ramai mengetahui lagu saya, tetapi kurang mengenali siapakah penyanyinya. Jadi mungkin selepas ini, di samping mempromosikan lagu, saya turut memperkenalkan diri saya pada umum,” katanya.
Tumpu bidang nyanyian
Meskipun baru muncul menerusi filem pertamanya, Klip 3GP, Sabhi berkata, dia tidak berhasrat untuk terus aktif di dalam bidang lakonan. Sebaliknya anak kelahiran Sandakan, Sabah ini mahu memberi tumpuan terhadap karier nyanyian terlebih dahulu.
“Saya tidak mahu terburu-buru untuk membuat dua kerja dalam satu masa. Lagipun karier nyanyian saya masih banyak yang perlu diperbetulkan.
“Tetapi jika rezeki lebih memihak dalam bidang lakonan, saya tidak kisah untuk menerima tawaran berlakon kerana ia juga masih dalam cabang seni,” katanya.
Sabhi berkata, setakat ini dia baru menerima tawaran untuk berlakon dalam sebuah telefilem akan ditayangkan di Sabah.
Bagaimanapun, tajuk telefilem itu masih belum diketahui dan akan memulakan penggambaran hujung tahun ini.
Beralih ke perniagaan
Tidak sekadar berbakat di dalam bidang seni, Sabhi mengakui turut aktif di dalam bidang perniagaan. Dia kini sudah menubuhkan syarikat rakaman sendiri iaitu Julang Kemuncak Sdn Bhd, berhasrat untuk mencari artis yang akan bernaung di bawah labelnya.
Selain itu, Sabhi bakal menerima bantuan geran RM200,000 menerusi Persidangan Usahawan Muda Asia Pasifik (APEC YES 2011) tidak lama lagi merancang untuk membuka studio vokal dan tarian di Sabah.
“Saya memilih untuk membuka studio di Sabah kerana permintaan lebih banyak di sana. Mungkin selepas ia sukses di Sabah, baru saya merancang sama ada akan membuka cawangan di Kuala Lumpur atau tidak,” katanya.
Meskipun lahir dalam keluarga senang, Sabhi menafikan menggunakan pengaruh bapanya, yang bergelar Datuk, sebaliknya melakukan atas usaha sendiri.
“Sejujurnya saya tidak suka claim diri saya anak Datuk. Ayah saya ada memberi nasihat berkaitan perniagaan dan sedikit modal permulaan untuk membuka perniagaan," katanya.
Rapat dengan Vienna
Meskipun mengakui sudah sendiri sejak setahun lalu, Sabhi kini dikatakan menjalin hubungan cinta dengan rakan duetnya, Vienna.
Sabhi berkata, perhubungan terjalin tidak lebih dari seorang teman rapat.
Menurut Sabhi, Vienna seorang penyayang, lemah lembut dan mengambil berat terhadap orang berada di sekelilingnya.
Justeru, tidak hairanlah jika mereka nampak rapat kerana saling bekerjasama.
di Balckberry Messenger (BBM) tetapi kami belum sampai tahap bercinta.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: