
Presidennya, Datuk Paduka Shuhaimi Baba berkata, itu adalah langkah terbaik untuk menyelesaikan kemelut berlaku.
Menurutnya, filem genre memberi nafas baru terhadap momentum filem Malaysia sehingga mendapat pengiktirafan anugerah baik kepada pengarah, penerbitan dan pelakon terbaik di persada festival antarabangsa serta meningkatkan jumlah penerbitan.
"Kami sudah berbincang dengan semua ahli PFM dan inilah jalan terbaik iaitu bertemu Tun dan memberi penjelasan mengenai isu ini. Kami menerima pandangan Tun sebagai satu teguran membina untuk kami.
"Surat itu akan kami serahkan secepat mungkin dan berharap ada respons positif daripada pihak Tun. Hasrat kami hanya mahu menjernihkan keadaan dan menjelaskan dengan terperinci mengenai filem tempatan terutamanya filem seram.
"Mungkin dengan cara ini, ia sekali gus dapat mengurangkan tanggapan negatif terhadap filem bercorak seram khususnya kepada masyarakat," katanya dalam majlis Diskusi Kreativiti Perlu Ruang Bukan Sekatan di Finas semalam.
Menurutnya, sebagai pembikin filem sudah pasti PFM mahu memberikan yang terbaik kepada penonton. Sentiasa menerima pandangan mengenai sesetengah filem yang wujud pengisian agak keterlaluan, PFM bersifat terbuka dan bersedia menerima pandangan sesiapa sahaja untuk menambah baikkan sesuatu filem.
"Apa terjadi sekarang ini adalah hanya kerana perkara kecil cuba diperbesarkan oleh pihak tertentu. saya percaya, setiap filem dihasilkan mengikut sosiobudaya dan mengikut landasan benar.
"Kami tidak mahu perkara ini berpanjangan. Perjumpaan dengan Tun nanti adalah sebagai menjawab dan menjelaskan persepsi mengenai filem seram," katanya.
Jangan sekat filem seram
Menerusi diskusi tersebut, PFM berharap filem seram tidak akan disekat.
Naib Presiden PFM, Ahmad Idham Ahmad Nadzzri berkata, setiap filem seram dihasilkan mendapat sambutan menggalakkan daripada penonton.
"Sebagai pengkarya sudah pasti kami tidak meminggirkan soal sensitiviti agama dan paling penting mengikuti setiap garis panduan ditetapkan Lembaga Penapisan filem (LPF).
"Setiap filem akan diserahkan kepada LPF untuk dinilai. Jika karya itu ada yang tidak kena, pihak LPF akan memotongnya.
"Jika dilihat pada rekod, tahun ini 42 filem menunggu tayangan sehingga penghujung tahun. Daripada jumlah itu, 18 filem seram," katanya.
Diskusi tersebut turut melibatkan setiausaha kehormat, Norman Abdul Halim dan bendahari Panchacharam P Nalliah.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: