![]() |
| PERIUK kera yang mempunyai bentuk fizikal tambahan seakan-akan telinga ini memiliki sifat boleh bervariasi. |
DALAM tempoh dua tahun, Norsiah Bahari, pensyarah di Institut Pendidikan Guru Malaysia yang berasal dari Melaka berulang-alik kira-kira 14 kali ke Taman Negara Endau Rompin, Pahang.
Atas rasa cinta wanita berusia 37 tahun itu kepada alam sekitar dan sebagai sebahagian daripada kajian tesis, dia bersama ahli kumpulannya yang lain seramai tujuh orang telah menempuh perjalanan sukar untuk mengumpul spesimen yang terdapat di situ.
Ekspedisi kali pertama Norsiah pada 13 Mac 2009 bermula dengan mudah iaitu pendakian pada permukaan yang agak mendatar. Namun, tidak lama selepas itu mereka berdepan pula dengan permukaan berbukit yang curam setinggi 50 meter. Mujur terdapat laluan bertangga sepanjang pendakian tersebut.
Perjalanannya diteruskan dengan permukaan mendatar yang dipenuhi dengan struktur batu-batu pula. Disebabkan cuaca di situ agak lembap dan sejuk, tumbuh-tumbuhan seperti lumut dan paku-pakis tumbuh merata.
Pokok-pokok herba seperti kacip fatimah dan durian turut melatari pemandangan di kawasan tersebut yang Norsiah percayai, ia pernah menjadi kawasan laluan sungai suatu masa dulu.
Ujarnya, kawasan tersebut mempunyai aroma yang sangat menyenangkan kerana secara kebetulan tumbuh-tumbuhan di situ sedang berbunga.
Sekali lagi, Norsiah terpaksa memanjat permukaan bercuram tetapi kali ini dengan perubahan pemandangan flora yang sangat berbeza.
"Pada awal pendakian, kami dapat melihat banyak pokok-pokok tinggi termasuk pokok bertam. Kemudian, pokok-pokok palma pula mendominasi kawasan tersebut," ujar Norsiah.
Tambahnya, paling unik di kawasan tersebut adalah terdapat sebuah hutan edafik (pengaruh ciri-ciri tanah pada tanaman) bukit yang ditumbuhi pokok-pokok palma kipas. Pokok-pokok tersebut hidup secara berkelompok dan berumpun sahaja.

"Ia adalah spesies endemik di Semenanjung Malaysia dan hanya boleh ditemui di Taman Negara Endau Rompin dan Hutan Simpan Bukit Bauk, Terengganu," ujar Norsiah mengenai tumbuhan yang telah disenarai sebagai spesies terancam dalam Buku Data Merah Persekutuan Pemuliharaan Antarabangsa (IUCN).
Fakta menarik mengenai pokok yang dikenali sebagai pokok sabun itu adalah nama saintifiknya, Livistona endauensis diambil sempena nama tempat asalnya, Endau.
Pendakian Norsiah berakhir apabila dia sampai ke kawasan dataran tinggi pada ketinggian 399 meter yang dipanggil sebagai Padang Tujuh. Ia dilitupi hutan padang atau dikenali juga sebagai hutan rawa.
Melengkap kajian
"Keseluruhan hutan padang itu ditumbuhi pokok-pokok renek, paku-pakis dan pokok periuk kera manakala cuacanya agak panas dan kering berbanding kawasan lain," terangnya mengenai keunikan hutan yang terdapat di kawasan tanah tinggi.

Keunikan dan kelainan yang ketara pada ketinggian yang berbeza sepanjang perjalanan dari pintu masuk Taman Negara, Guntung Keriung ke Padang Tujuh adalah penyebab Norsiah begitu berminat untuk mengkaji seterusnya melengkapkan pengajian doktor falsafah (PhD) dalam bidang Biologi.
Kajian pelajar Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) itu meliputi hubung kait antara faktor ketinggian dan tumbuh-tumbuhan selain daripada penelitian tekstur tanah yang boleh mempengaruhi jenis flora yang hidup di persekitarannya.
Di Padang Tujuh, pasukan Norsiah yang terdiri daripada renjer perhutanan, potter, Orang Asli dan pembantunya berkhemah dan mengumpul spesimen.
Proses mencari dan mengumpul sampel bermula dari pukul 8 pagi hingga pukul 5 petang dan kadangkala pasukan Norsiah perlu bermalam di situ selama seminggu.
"Spesimen daun yang diambil perlu dipetik dari atas pokok dengan bantuan Orang Asli bagi memastikan kesegaran dan jenis pokoknya. Daun-daun di atas permukaan tanah kebanyakannya telah kering dan bercampur.
"Ia akan diawet menggunakan cara anestetik basah. Sampel direndam dalam cecair alkohol bagi memastikan daun tidak luruh daripada cabang," terang Norsiah mengenai kaedah spesimen diproses dan ia sering dilakukan pada waktu malam.

Kemudian, sampel-sampel tersebut dibawa ke makmal di UKM untuk dikaji dengan melihat corak urat daun dan cara percambahan spesimen tersebut.
Ulas Norsiah, penemuan yang menarik sepanjang kajiannya adalah dua jenis sampel yang pada mulanya didakwa sebagai spesies tumbuh-tumbuhan baharu iaitu pokok durian dan periuk kera.
"Daripada penelitian terhadap urat-urat spesimen daun durian tersebut, ia adalah spesies baharu tetapi kajian mendalam perlu dilakukan kerana sampel yang lengkap seperti bunga dan putik daun perlu ada," jelasnya lagi.
Menurut Norsiah, di Padang Tujuh pula terdapat banyak pokok periuk kera. Paling mencuri tumpuan pasukannya adalah tumbuhan tersebut mempunyai bentuk fizikal tambahan seakan-akan telinga pada tumbuhan itu.
Bertandang ke Padang Tujuh
Selepas sesi konsultasi dengan pensyarah, Prof. Datuk Dr. Abdul Latif Mohamad dan pakar periuk kera lain, kesimpulan yang dibuat adalah ia berkemungkinan spesies baharu.
Pada bulan Ogos lalu, Norsiah bertandang semula ke Padang Tujuh untuk kajian yang lebih terperinci terhadap hidupan tersebut.
Kali ini, Norsiah mendapati bahawa periuk kera tersebut adalah tumbuhan variasi. Walaupun ia bukan spesies baharu, namun sifat boleh bervariasi itu merupakan penemuan terkini bagi tumbuh-tumbuhan jenis tersebut yang pernah direkodkan.
Bagaimanapun, ujarnya, kedua-dua penemuan tersebut masih belum disahkan lagi kerana ia perlu diterbitkan dalam penerbitan jurnal terlebih dahulu.
Untuk tujuan itu, sampel lengkap perlu ada dan prosesnya sangat panjang iaitu daripada membuat kajian sehingga persidangan membincangkan penemuan baharu perlu dibuat.
Buat sementara waktu, kedua-dua spesies yang masih belum disahkan itu dikenali dengan nama saintifik Durio razakii ined bagi pokok durian manakala tumbuhan periuk kera pula adalah Nephenthes rafflesiana.

No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: