PENDUDUK Camar Bulan yang ditemui di kedai kopi di Teluk Melano tidak tahu demonstrasi isu tanah di Jakarta dan mengakui hidup aman damai.
Rata-rata penduduk yang ditemui di sempadan Malaysia-Indonesia, dekat Kalimantan di sini, semalam, tidak tahu menahu mengenai dakwaan Anggota Dewan Perwakilan republik itu yang mendakwa Malaysia menceroboh tanah negara itu di Camar Bulan dan Tanjung Datu.
“Saya ada dengar cerita mengenai isu tanah di Camar Bulan, namun tidak pasti kesahihannya. Malah, tidak pernah berlaku ketegangan antara warga Malaysia dan Indonesia di sini, kami hidup aman damai serta saling membantu.
“Kita sama Melayu, hidup serumpun. Kami penduduk di sini berharap masalah ini dapat diselesaikan secara baik kerana warga Malaysia di sini, melayan kami dengan baik,” katanya.
Seorang lagi warga Indonesia, Sunarti, 31, berkata beliau sudah lebih 20 tahun tinggal di kawasan sempadan, namun tidak pernah berlaku kekecohan antara penduduk, malah ramai yang sudah menjadi keluarga hasil perkahwinan.
Sementara itu, Ketua Kaum Teluk Sabang, Minhad Fauzan, 43, berkata masalah tiada tanda sempadan kecuali cat merah pada pokok dan batu sempadan yang jarak terlalu jauh sehingga ada penduduk di Camar Bulan berkebun tanpa had kawasan, mungkin menjadi punca berlaku kekeliruan kawasan sempadan.
Katanya, ramai warga Indonesia di sempadan dekat Camar Bulan mengusahakan tanaman lada hitam dengan kawasan itu betul-betul terletak di belakang kawasan Hutan Perlindungan Hidupan Liar Samunsang, di sebelah Malaysia.
Penghulu Teluk Melano, Mohamad Dani, 56, pula berkata beliau baru mengetahui mengenai isu berkenaan, semalam, namun bukan dari penduduk Camar Bulan, sebaliknya daripada laporan media.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: