KHABARNYA sehingga bulan September ini, IB belum menerima bayaran daripada syarikat-syarikat produksi yang berhutang dengan IB? Apa cerita ni Abang Joe?
Mohamed Juhari: Memang betul IB masih belum dapat bayaran itu. Ia melibatkan kos penggunaan pentas Panggung Sari. Apa yang saya boleh katakan, berdasarkan rekod, syarikat yang gagal melunaskan hutang ini rata-ratanya adalah syarikat yang pertama kali bekerjasama dengan kita. Saya tak kata semua, tapi segelintir sahaja.
Macam mana boleh timbul isu tak bayar ni? Walhal dengar khabar, ada syarikat produksi yang dah kaut untung menggunung?
Untuk pengetahuan, kadar sewaan lokasi di IB adalah yang terendah kalau nak dibandingkan dengan pentas teater yang lain sekitar Kuala Lumpur. Untuk satu persembahan, kita cuma mengenakan kadar sewa sebanyak RM15,000. Di tempat lain, ada yang cecah sehingga RM200,000 hingga RM300,000. Nampak tak perbezaan? IB memang tawarkan harga yang berpatutan. Sekarang ini bukan isu sewa tinggi, tapi pihak syarikat yang tak pandai nak uruskan kewangan mereka.
Maksudnya?
Saya perhatikan, kebanyakan mereka ini biasanya akan meletakkan soal bayaran pihak IB pada fokus terakhir. Mereka akan terlebih dahulu buat bayaran untuk benda-benda lain seperti tenaga pementasan dan sebagainya walhal, sepatutnya ketepikan dulu duit sewaan pentas. Betul tak? Apa yang lebih terkilan, ada di antara syarikat produksi ini yang mendapat sambutan baik semasa persembahan mereka berlangsung.
Apa cara yang diguna pakai oleh pihak IB kalau kes begini terjadi?
Biasanya kami akan hantar bagi surat amaran sebanyak tiga kali untuk meminta pihak terbabit membayar hutang mereka. Kalau sampai surat ketiga pun mereka masih tak pedulikan, pihak kami terpaksa mengheret kes ke mahkamah untuk tindakan undang-undang. Tapi sebenarnya, setakat ini, tak ada kes yang membolehkan pihak IB melanjutkan isu ini sampai ke mahkamah. Kami lebih suka bertoleransi.
Tak rasa ke toleransi tu menyebabkan produksi-produksi seperti ini seolah-olah mengambil kesempatan?
Betul, tapi perlu ingat, misi IB sebenarnya ke arah tanggungjawab sosial. Kalau boleh kami mahu bantu dan beri peluang kepada semua penggiat-penggiat seni pementasan tempatan untuk maju. Kita pun tak mahu dikelaskan sebagai sebuah panggung yang punya kroni-kroni. Ada kes dimana pementasan yang gagal mendapat sambutan pun kami masih bertolak-ansur dari soal bayaran sebab memahami keadaan mereka. Tapi saya amat dukacita kerana ada syarikat produksi yang ambil kesempatan dan tidak bertanggungjawab dan ini menyebabkan kami hilang kepercayaan.
Biasanya syarikat produksi mana yang liat sangat nak bayar hutang tu?
Biasanya melibatkan genre teater muzikal, muzik, konsert dan tari. Kalau untuk penggunaan ruang kecil biasanya tiada masalah dari segi bayaran sebab kadar sewa murah. Sekitar RM300 hingga RM500 sahaja.
Kalau tak keberatan, boleh Abang Joe dedahkan produksi mana yang buat hal tu?
Maaflah. Saya tak boleh dedahkan.
Ada tak produksi yang lari daripada membayar hutang?
Adalah dalam dua tiga buah syarikat. Dalam usaha nak elak bayar hutang, mereka-mereka ini bertindak menutup syarikat. Tak muncul-muncul biarpun selepas tiga kali surat amaran diberikan. Ini benar-benar mengecewakan.
Jadi apa langkah yang diambil pihak IB untuk menangani kes-kes macam ni?
Apa yang boleh kami lakukan ialah berhati-hati. Kita juga dah susun program untuk tahun 2012 dan buat pertama kalinya dalam sejarah IB, semasa pembentangan usul untuk sebarang pementasan, kami minta mereka kemukakan dokumen modal berbayar syarikat. Tujuannya untuk memastikan yang syarikat tersebut berkemampuan dari segi kewangan dan tidak punya alasan untuk tidak membayar kadar sewa yang ditetapkan. Jadi tak ada istilah mereka boleh lari daripada membuat bayaran.
Adakah IB akan menyenaraihitam syarikat yang gagal bayar hutang?
Tidak. Kita tak pernah buat begitu. Tapi produksi itu tidak akan menjadi pilihan pertama kami. Langsai hutang dulu baru boleh adakan pementasan di IB. Kami juga mengenakan deposit sebanyak RM4,000 kepada syarikat produksi yang sudah mendapat surat tawaran. Kalau pementasan tak jadi buat, duit itu tidak akan dikembalikan. Untuk pengetahuan, kadar sewa sebanyak RM15,000 itu dikenakan untuk setiap satu persembahan. IB juga tak pernah ambil duit ekstra jika produksi menggunakan panggung untuk latihan. Bayaran dikenakan hanya semasa persembahan sebenar berlangsung.
Bila jadi begini, adakah pihak anda rasa terjejas dari segi sambutan produksi untuk menggunakan IB bagi pementasan lain?
Alhamdulillah. Sambutan okey, Malah kami gembira kerana lebih 50 produksi mahu mengadakan pementasan di sini sepanjang tahun depan. Sepuluh daripadanya adalah daripada pementasan antarabangsa. Tapi jangan khuatir, pihak IB lebih selektif dan akan mengutamakan produksi tempatan terlebih dahulu. Formula yang kami gunakan ialah 70 peratus produksi tempatan dan 30 peratus produksi luar.
Harapan Abang Joe berhubung isu tak bayar hutang?
Bagi mana-mana produksi yang ingin mengadakan persembahan di sini, pastikan anda punya sokongan kewangan yang mantap. IB tidak akan beri muka kepada mana-mana produksi yang mahu menjadikan pentas kami sebagai tempat untuk bereksperimen atau cuba-cuba. Bagaimanapun, peluang untuk anak seni tempatan sentiasa kami buka.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: