Thursday, October 13, 2011

Muji korban masa jaga warga emas


Muji Sulaiman (kiri) menerima sumbangan untuk Rumah Orang-Orang Tua Al-Ikhlas daripada Fartini Zaharuddin.


MENJAGA bapa yang sakit akibat strok selama empat tahun membawa makna yang cukup besar kepada Muji Sulaiman.

Pengalaman tersebut dijadikan kenangan terindah dan paling berharga dalam hidup kerana baginya tidak semua anak diberi peluang oleh Allah S.W.T untuk menjaga sekali gus berbakti pada orang tua mereka sehingga ke akhir hayat.

Malah Muji reda dicerai suaminya hanya semata-mata mahu menjaga orang tuanya yang sedang sakit.

Biarpun sedih mengenang ditinggal suami, ibu tunggal tiga anak ini tidak berganjak daripada niatnya untuk menjaga bapa sehingga nafas terakhir.

Kini biarpun bapa sudah tiada di sisinya, Muji bangga dengan pengorbanan yang pernah dilakukan itu.

Malah dengan pengalaman yang ada dia mampu menjaga lebih ramai lagi warga emas yang sudah tiada keluarga melalui penubuhan Rumah Orang-Orang Tua Al-Ikhlas.

Rumah perlindungan yang ditubuhkan pada 2004 di Puchong, Selangor itu, adalah titik tolak daripada rasa belas dan simpati Muji apabila melihat ramai warga emas yang tiada tempat tinggal selepas mendapatkan rawatan di hospital.

Ibu tunggal itu beriltizam menjadikan rumah tersebut sebagai tempat warga emas berteduh, menumpang kasih serta menghabiskan hari-hari terakhir mereka dengan lebih bermakna.

“Saya menjadi pilu melihat orang-orang tua ini yang kesemua mereka saya anggap seperti ibu dan bapa saya sendiri.

“Biarlah dibuang anak sendiri namun kami tetap membantu untuk menjaga mereka sebelum dijemput Ilahi,’’ ujar wanita kelahiran Muar, Johor ini.

Katanya lagi, biarpun perlu bermain dengan najis dan hancing air kencing ibu bapa orang lain, hatinya tetap gembira dengan tugas yang dilakukan sekarang.

“Memang mereka bukan darah daging saya tetapi hati saya tenang dan puas dapat membantu mereka walaupun sesetengahnya hanya dapat saya jaga dalam tempoh yang sekejap sebelum meninggal dunia,’’ ujarnya lagi.

Ceritanya, pada awal penubuhan Rumah Orang-Orang Tua Al-Ikhlas , ia hanya mempunyai 10 penghuni sahaja.

“Ketika itu saya hanya dibantu oleh anak-anak sendiri untuk menguruskan jadual seharian warga emas ini.

“Tidak dinafikan masa itu ada yang menganggap saya gila kerana sanggup menjaga ibu bapa orang lain sedangkan anak mereka sendiri tidak mahu membela.

“Apa pun yang orang kata saya teruskan juga perjuangan semata-mata untuk membela orang tua yang disisihkan oleh anak-anak serta yang tiada waris,’’ kata Muji sambil menguntum senyum.

Kini selepas hampir lapan tahun berlalu, rumah jagaan tersebut mampu memuatkan 50 orang penghuni yang kesemua tiada keluarga.

Kebanyakan warga emas tersebut adalah pesakit dari hospital-hospital kerajaan yang tiada waris dan menghidapi penyakit yang kronik.

Bagaimanapun, ada juga sebilangan penghuni yang dihantar sendiri oleh anak-anak atas alasan tertentu.

“Semua ini saya anggap amanah Allah. Saya percaya Allah akan tetap membantu kami di sini dan memberi rezeki ,’’ ujarnya yang menggunakan bekas surau lama yang telah diwakafkan untuk rumah pelindungan tersebut.

Setakat ini semua kerja-kerja mengurus kan penghuni dilakukan sendiri olehnya dengan dibantu beberapa pekerja.

Katanya lagi, menjaga orang tua memerlukan ketahanan kesabaran yang tinggi memandangkan mereka mudah sensitif dan kerenahnya seperti kanak-kanak.

“Ada juga di kalangan mereka ini nyanyuk dan lupa ingatan, jadi sebagai penjaga kita perlu bersabar dengan kerenah mereka.

“Golongan ini tidak memerlukan apa-apa sekadar mahukan perhatian dan belaian daripada insan yang sayangkan mereka,” katanya.

Selain aktiviti harian biasa, penghuni rumah tersebut turut diberikan kelas bimbingan al -Quran serta kuliah agama setiap hari.

“Saya upah ustaz dan ustazah untuk mengajar mereka mengaji selain mengendalikan kelas agama,’’ ujarnya lagi.

Mengenai kos pembiayaan rumah tersebut, Muji berkata, setiap bulan dia memerlukan sekurang-kurangnya RM20,000 sebagai perbelanjaan untuk menguruskan semua keperluan .

Bagaimanapun, dia bersyukur sejak penubuhan rumah tersebut sehingga hari ini, rezeki tidak pernah putus.

Ada sahaja bantuan yang diterima bukan sekadar wang ringgit tetapi juga makanan dan keperluan harian daripada golongan korporat serta orang perseorangan.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: