Tuesday, October 18, 2011

Mentaliti jijik rakyat Malaysia


Pekerja Dewan Bandaraya Kuala Lumpur membersihkan sampah yang ditinggalkan orang ramai yang datang menyaksikan sambutan Hari Kemerdekaan di Dataran Merdeka baru-baru ini.


CUBA lihat atau terjemah senario sebelum dan selepas berakhirnya pasar malam, pasar pagi atau apa sahaja yang beralaskan kepada perkataan ”pasar”.

Ramai orang, sudah tentu sama ada mereka adalah kalangan pembeli mahupun penjual. Malah, kiri kanan terasa kemeriahannya dengan gelagat penjual cuba meraih perhatian pembeli.

Itu adalah fenomena biasa ketika berada di pasar. Namun, apa berlaku selepas itu? Suasana lengang, tiada penjual tiada pembeli. Tetapi yang tinggal hanyalah sampah merata-rata! Bukan senario baru, tetapi bagaikan sudah menjadi kebiasaan setiap kali adanya ‘pasar’ yang berlokasikan bukan di kawasan bangunan berbumbung.

Bukan itu sahaja. Lihat pula di kawasan taman rekreasi air terjun.

Pemandangan menghijau yang indah, serta sering kali menjadi lokasi pilihan untuk mengeratkan hubungan kekeluargaan.

Bagaimanapun, lihat pula kiri kanan anda. Tulang ayam, tulang ikan, bekas air kotak pelbagai jenama, bekas polisterina, menyuntik dekorasi ‘kotor’ oleh mereka yang tidak bertanggungjawab.

Semua ini merungkai kepada kurangnya keprihatinan masyarakat dalam aspek kebersihan, kepentingan penglibatan terhadap pengurusan sisa pepejal.

Ini diakui Pensyarah Undang-undang Pengurusan Sisa Industri dan Alam Sekitar, Universiti Putra Malaysia (UPM), Prof Madya Dr. Mohd. Bakri Ishak.

Kewujudan penyakit seperti leptospirosis serta meningkatnya kes denggi sepanjang tahun lepas, sedikit sebanyak menimbulkan persoalan mengenai amalan kebersihan sesetengah masyarakat negara ini.

Ia juga menggambarkan betapa rendahnya keprihatinan masyarakat dalam penglibatan mereka sebagai antara komuniti penting pengurusan sisa pepejal yang teratur.

Malah, laporan pihak berkuasa berhubung penyakit leptospirosis serta denggi menyebut punca berlakunya penyakit itu adalah sikap masyarakat yang tidak mengambil peduli aspek kebersihan.

Ekoran mengambil mudah perkara itu, penyakit leptospirosis yang juga dikenali sebagai kencing tikus mula dikesan pada pertengahan tahun lepas apabila beberapa orang meninggal dunia selepas mangsa dikatakan terlibat dalam aktiviti air di beberapa taman rekreasi.

Begitu juga dengan denggi. Kawasan persekitaran yang kotor, sampah merata-rata akhirnya mengundang pembiakan nyamuk Aedes.

Tidak sekadar itu, fenomena menjijikkan di belakang restoran, kawasan persekitaran penjaja yang kotor dengan longkangnya penuh sisa makanan sehingga tersumbat, boleh mengundang kedatangan binatang pembawa penyakit seperti tikus, lalat dan lipas.

Semua ini bermula daripada sikap “ikut suka hati aku”, mengurai kepada amalan membuang sampah merata-rata tanpa memikirkan implikasi pada masa akan datang.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: