Tuesday, October 18, 2011

MAS yakin RAPID menjimatkan

Malaysia Airlines (MAS) yakin mampu jimat pada kadar 30 peratus setahun menerusi penggunaan penyelesaian teknologi maklumat (IT) yang direka khusus untuk syarikat penerbangan memproses perakaunan pendapatan iaitu RAPID yang disediakan oleh cabang komersial Emirates Group, Mercator sebuah syarikat yang berpangkalan di Dubai.

Ketua Pegawai Kewangannya, Mohd Azha Abdul Jalil berkata, sejak aplikasi itu digunakan lima tahun lalu, sebanyak 100 juta kupon penerbangan penumpang dan kargo MAS diproses, 60 peratus daripadanya melibatkan penerbangan antarabangsa.

Menurutnya, RAPID adalah penyelesaian perakaunan yang dibangunkan Mercator bagi membolehkan syarikat penerbangan di seluruh dunia memanfaatkan sistem pemprosesan tercanggih.

“Dengan kerjasama dan perniagaan ini diuruskan oleh pakar dari Dubai, MAS telah meraih faedah daripada pengetahuan dan kepakaran Mercator yang mampu menjanjikan menjimatkan kos pemprosesan,” katanya pada sidang media sempena meraikan kejayaan Mercator memproses kupon penumpang MAS lebih daripada 100 juta di Kuala Lumpur. Hadir sama, Naib Presiden Kanan Emirates Group, Michael Doersam dan Naib Presiden Mercator, Duncan Alexander.

Bagi pihak Mercator, Doersam berkata, sejak kerjasama itu dilaksanakan pada 2006 lalu, pihaknya merekodkan peningkatan jumlah penumpang secara berterusan dan telah memproses lebih 23 juta transaksi setahun untuk syarikat penerbangan itu sahaja.

Katanya, RAPID menukar data kewangan kepada maklumat strategik bagi memenuhi setiap permintaan syarikat penerbangan tanpa mengambil kira saiz atau pasaran operasi prestasi jualan, jumlah penumpang dan pendapatan kargo yang begitu dititik beratkan oleh sesebuah syarikat penerbangan.

“Maklumat berkaitan perakaunan pendapatan menjadi salah satu faktor penting kerana ia adalah salah satu sumber maklumat dalam meletakkan harga, di samping tujuan menganalisis laluan dan keuntungan rangkaian,” katanya.

Selain MAS, AirAsia juga dijangka akan mengguna pakai penyelesaian ini tidak lama lagi. Antara pelanggan Mercator adalah British Airways, Emirates, Etihad, JetBlue, Singapore Airlines dan Qatar Airways.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: