Wednesday, October 12, 2011

Malaysia model Universiti Lehigh


Alice P. Gast bercakap pada syarahan perdana sambil diperhatikan oleh Zaini Ujang (kiri) di Universiti Teknologi Malaysia di Skudai, Johor Bahru, baru-baru ini.


JOHOR BAHRU 11 Okt. - Sebuah universiti swasta terkemuka Amerika Syarikat (AS), Universiti Lehigh di Pennsylvania merancang menjadikan Malaysia sebagai model pelaksanaan Kursi Pengajian Islam Global (CGIS) di kampusnya.

Presidennya, Prof. Dr. Alice P. Gast berkata, negara ini dipilih kerana mengamalkan kesederhanaan dalam Islam dan mewujudkan suasana muhibbah di antara pelbagai etnik.

"Inilah perkara penting yang boleh dipelajari oleh negara dan penuntut kami serta ia boleh dibantu oleh anda semua. Kami percaya semua penuntut perlu lebih memahami, menghargai Islam dan budayanya.

"Penekanan tidak hanya tertumpu kepada kawasan geografi tertentu atau pengajian agama tetapi pelbagai disiplin supaya mahasiswa kami boleh mempelajari bagaimana Islam diamalkan di Malaysia dan negara lain," katanya.

Beliau berkata demikian dalam Syarahan Perdana bertajuk 'Pengajian Antarabangsa Masa Kini' di Dewan Senat, Universiti Teknologi Malaysia (UTM), di sini baru-baru ini.

Turut hadir Naib Canselor UTM, Prof. Datuk Dr. Ir. Zaini Ujang.

Gast yang juga Perutusan Khas Sains kepada Presiden AS, Barack Obama berkata, program musim panas berasaskan tema itu bakal memberi manfaat kepada mahasiswa Universiti Lehigh untuk mengenali Islam secara menyeluruh.

Sementara itu Zaini memberitahu, satu delegasi dari Universiti Lehigh akan melawat UTM Januari depan untuk mengenal pasti potensi kerjasama dalam bidang bioteknologi, air, kelestarian, kejuruteraan kimia dan pengajian Islam.

"Kami berasa bangga kerana ini kali kedua Dr. Gast datang ke universiti ini dalam tempoh dua bulan," katanya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: