
WANG zakat tidak sama dengan lain-lain wang atau dana. Justeru, ia tidak boleh dibelanjakan sesuka hati. Sebaliknya, ia hanya boleh diagih kepada lapan golongan asnaf yang ditetapkan sebagai mana firman Allah SWT dalam ayat 60 surah at-Taubah.
Untuk itu, institusi seperti Lembaga Zakat Selangor (LZS) diberi amanah mengurus kutipan pelbagai jenis zakat untuk diagihkan kepada para asnaf.
Namun, sebelum pengagihan dibuat, LZS perlu membuat semakan untuk memastikan hanya pemohon yang layak menerima bantuan zakat. Berdosa memberi zakat kepada golongan yang tidak layak.
Sebab itu, sebelum sesuatu permohonan diluluskan, ia perlu disokong dengan dokumen yang lengkap untuk memastikan kesahihan maklumat pemohon dan mengelak penipuan.
Ketua Pegawai Eksekutif LZS, Mohamed Izam Mohamed Yusof berkata, pihaknya sentiasa memastikan pelanggan didahulukan di samping mengutamakan ketelusan dan pengagihan zakat sentiasa berhemah.
Katanya, adalah menjadi prinsip agihan zakat di Selangor bahawa ia perlu dilakukan dengan segera iaitu fauran.
"Oleh itu, pencapaian LZS adalah dalam bentuk menyegerakan pengagihan zakat mengikut piagam pelanggan.
"Cuma, bantuan zakat ini adalah sementara bukannya sebagai pendapatan. Sebab itu, apabila asnaf sudah boleh berdikari, bantuan dihentikan," kata beliau dalam pertemuan dengan Mega di pejabatnya di Shah Alam, Selangor, baru-baru ini.
Dalam aspek kelulusan permohonan bantuan zakat, piagam pelanggan LZS adalah memberi kelulusan dalam tempoh maksimum dua jam, 24 jam, 14 hari dan 30 hari.
Kata Mohamed Izam, bagi memudahkan kelulusan bantuan dalam tempoh dua jam pihaknya mewujudkan Kaunter Ekspres di sembilan cawangan LZS selain kaunter sedia ada di ibu pejabat.
"Jenis bantuan di bawah kategori ini adalah kecemasan runcit, hutang keperluan hidup, perubatan, musafir.
"Bagi bantuan kecemasan seperti ribut, banjir dan kebakaran tempoh kelulusan maksimum adalah 24 jam," jelas beliau.
Mohamed Izam memberitahu, dalam tempoh Januari hingga Jun 2011, pihaknya berjaya memproses 36,512 (97 peratus) permohonan bantuan daripada jumlah keseluruhan permohonan iaitu 37,599 mengikut piagam pelanggan.
"Sebanyak 97 peratus masalah aduan berkaitan agihan juga berjaya diselesaikan, manakala aduan kutipan, layanan dan perkhidmatan serta aduan umum dapat diselesaikan sepenuhnya," katanya.
Dalam usaha memperbaiki lagi agihan zakat, LZS menubuhkan Skuad Jejak Kemiskinan (SJK) untuk menjejaki kemiskinan di bandar.
Ia dimulakan di daerah Petaling pertengahan September lalu yang melibatkan tiga lokasi iaitu Projek Perumahan Rakyat (PPR) Lembah Subang, PPR Kota Damansara dan PPR Hicom di Seksyen 24 Shah Alam.
"Kita fokuskan kemiskinan di bandar kerana susah nak cari golongan ini. Sebab tempat tinggal dan rumah mereka adalah sama dengan orang lain berbanding kemiskinan di luar bandar.
"Selepas ini kita akan ke Puchong dan juga hot spot lain di mana kemungkinan terdapat asnaf dan fakir miskin," kata Mohamed Izam.
Sementara itu, jumlah kutipan zakat bagi tempoh Januari hingga Jun 2011 adalah RM127.6 juta iaitu meningkat 24 peratus berbanding tempoh yang sama tahun lalu. Daripada jumlah itu, sebanyak 93 peratus telah diagihkan.
Tahun lalu, LZS berjaya mengutip RM336.7 juta daripada 167,990 pembayar zakat di mana sebanyak RM330.4 juta diagihkan kepada 287,101 penerima di Selangor.
Objektif agihan LZS, Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) adalah melaksanakan agihan zakat seperti perintah Allah SWT, menyalurkan agihan zakat dengan lebih efisien, mewujudkan masyarakat seimbang dari segi ekonomi, rohani, duniawi dan ukhrawi.
Selain itu bagi mengurangkan kadar kemiskinan di negeri Selangor, memberi keyakinan kepada para pembayar zakat dan masyarakat serta mempelbagaikan program agihan zakat sesuai dengan keperluan semasa asnaf.
Mohamed Izam berkata, LZS mengunjurkan jumlah kutipan zakat tahun ini ini adalah RM350 juta walaupun setakat Ogos lalu, jumlahnya adalah sekitar RM240 juta.
Katanya, keyakinan itu berdasarkan bilangan pembayar zakat akan meningkat pada bulan Ramadan sesuai dengan pelbagai keberkatan yang ada di dalamnya.
"Bulan Disember juga ramai yang membayar zakat sebab sudah cukup haul," jelas beliau.
Mengenai penglibatan LZS dalam Festival Halal di Pusat Dagangan Putra yang berlangsung bermula semalam hingga 16 Oktober ini, Mohamed Izam berkata, pihaknya sentiasa menyokong usaha-usaha ke arah pembangunan ummah.
"Lagi pun festival ini mengetengahkan produk halal lagi baik di mana satu lagi aspek di dalamnya berzakat untuk memastikan punca rezeki yang halal lagi baik," tambahnya.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: