Thursday, October 13, 2011

Lelaki Nigeria, wanita Laos ditahan seludup dadah


LIAH (kiri) bersama Pegawai Penyiasat JKDM, Mohamad Nor Mohamad Ahad menunjukkan ketulan dadah jenis ganja yang ditemui dalam kereta seorang lelaki warga Nigeria di Rawang semalam.


NILAI – Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) berjaya menggagalkan sindiket penyeludupan dadah jenis ganja seberat 37 kilogram bernilai RM90,000 selepas menahan seorang lelaki Nigeria dan seorang wanita Laos di Kilometer 449.1 Lebuh Raya Utara Selatan di Rawang, Selangor Isnin lalu.

Timbalan Pengarah Cawangan Narkotik JKDM, Liah Omar berkata, lelaki berusia 37 tahun yang merupakan pelajar kolej swasta di Kuala Lumpur ditahan bersama wanita itu selepas kenderaan yang dinaiki mereka secara berasingan ditahan kastam di lokasi kejadian.

“Bertindak atas maklumat diterima, sepasukan anggota kastam telah menahan kedua-dua suspek kira-kira pukul 10.30 malam yang menaiki dua buah kenderaan berasingan.

“Kereta pertama dipandu oleh lelaki Nigeria seorang diri, manakala wanita terbabit yang berusia 35 tahun sebagai penumpang menaiki kereta kedua bersama seorang lelaki (pemandu) dipercayai warga Afrika.

“Ketika kastam cuba menahan dan memeriksa kenderaan tersebut, lelaki Afrika itu berjaya meloloskan diri dan gagal dikesan,” katanya kepada pemberita di sini semalam.

Menurut Liah, hasil pemeriksaan ke atas kereta yang dipandu suspek Nigeria itu menemukan 31 bungkus ketulan ganja yang dibalut dengan surat khabar di dalam sebuah beg dan kotak disembunyikan di tempat simpanan barang belakang kenderaan tersebut.

Ujarnya, berdasarkan siasatan awal, lelaki terbabit telah berada setahun di negara ini yang masuk sebagai pelajar kolej swasta dan suspek wanita itu pula mempunyai tiga kali rekod masuk ke negara ini dalam tempoh setahun.

“Kita tidak menjumpai dadah di dalam kereta yang dinaiki wanita itu tetapi dia ditahan kerana dipercayai mempunyai hubungan dengan kes sindiket dadah ini. Dokumen perjalanannya merekodkan dia datang dari Laos ke Thailand dan kemudian masuk ke Malaysia melalui Bukit Kayu Hitam, Kedah sebagai pelancong.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: