Friday, October 14, 2011

Kumpul peminat di China

ONE BUCK SHORT teruja semasa menyertai Rockaway 2011 di Stadium Bukit Jalil, Kuala Lumpur baru-baru ini.


BERBEKAL keupayaan melantunkan genre pop punk bersama linguistik bahasa Inggeris, One Buck Short ternyata mempunyai ideologi tersendiri dalam merencanakan perjalanan seni mereka.

Walau sudah lebih lapan tahun menjadi anak seni, Mooky atau nama sebenarnya, Mundzir Abdul Latif, 29, Rahul atau Rahul Kukreja, 28, dan Imran atau Imran Fadzil Ishak, 27, kini lebih kebal bersama percubaan baharu bersama karya yang senafas lebih segar berbanding dahulu.

Cuba untuk lari menyusup ke dalam aliran adrenalin pendengar berbangsa Melayu pula, rempah-ratus yang dibikin mereka selama ini harus ditukar.

Seolah-olah satu ketenangan dan lebih dekat dengan telinga pendengar Melayu khususnya, lirik dan melodi dalam album terbaharu mereka keseluruhannya mencerminkan jiwa tempatan.

"Ini album pertama yang kami hasilkan sepenuhnya dalam bahasa Melayu, memang tepat jika andaian semua kami ingin memancing pendengar Melayu pula berbanding album sebelum ini yang hanya memuatkan tiga buah lagu berbahasa Melayu," bicara Mooky.

Kampong Glam, itulah judul album terbaharu One Buck Short. Dengar sahaja judul album itu, pendengar sudah boleh mengagak ia 100 peratus album Melayu.

"Kami memilih judul itu kerana ia melambangkan pemodenan yang sedang kita alami sekarang, walau seseorang merantau jauh ke tengah-tengah bandar hakikatnya di kampung kita sendiri pun sudah cukup terkenal dan glamor sebenarnya," tambah vokalis One Buck Short itu lagi.

Album penuh kedua yang dihasilkan One Buck Short itu memuatkan enam buah lagu yang lirik dan komposisi muziknya adalah ciptaan penuh anggota kumpulan itu.

Antara lagu yang termuat dalam album itu adalah Hitung Segala Rasa, Semangat, Ditiup Kata Rindu, Pok Pok Bujang Lapok serta Sekelip Mata dan single pertama yang diangkat menerusi album Kampong Glam iaitu Carilah Duit kini sudah siap pembikinan muzik videonya.

"Album ini menonjolkan kematangan kumpulan kami, dari segi susunan muzik, lirik dan melodi yang banyak mencirikan elemen tradisi dan asli masyarakat Malaysia," katanya yang turut menekankan unsur-unsur keseimbangan dan ketenangan dalam album Kampong Glam.

Kampong Glam juga sudah berjaya dilancarkan ketika malam konsert sempena Festival Rockaway yang berlangsung di Medan Parkir A, Stadium Bukit Jalil, Kuala Lumpur baru-baru ini.

Selain itu, ditanya juga perkembangan terkini One Buck Short, katanya mereka kini sedang dalam proses menyiapkan album Inggeris kedua yang kemungkinan diedarkan pada tahun depan.

"Material semua sudah ada, kini hanya tunggu masa untuk latihan dan rakaman, tapi konsepnya album itu akan memuatkan semua lagu berbahasa Inggeris," ujar Mooky yang juga masih belum memilih nama untuk album ketiga One Buck Short.

Peminat di China


Kami berhasrat untuk masuk ke dalam pasaran negara China memandangkan populariti One Buck Short di sana cukup meluas - MOOKY


Menuntut ilmu biar sampai ke negara China, bidalan itu bukan saja menjadi pedoman buat One Buck Short tapi juga menyuntik inspirasi untuk 'melarikan diri' ke sana.

"Sangat mengejutkan kerana di sana juga One Buck Short ada peminat tersendiri dan sangat ramai, perkara ini terbukti sewaktu konsert kami di sana dua tahun lepas ketika mempromosikan album pertama Halal & Loving It," katanya yang turut mempromosikan album itu di Singapura, Australia, Filipina, Hong Kong, Macau dan China.

Album pertama One Buck Short, Halal & Loving It memuatkan 12 buat lagu dengan tiga daripadanya berbahasa Melayu.

Jelas Mooky lagi, ribuan peminat fanatik One Buck Short hadir membanjiri Festival Rock Nanjin ketika mereka dijemput untuk beraksi ketika itu.

"Menerusi album terbaharu ini juga, kami berhasrat untuk masuk ke dalam pasaran negara China memandangkan poulariti One Buck Short di sana cukup meluas dan kami juga sedang dalam proses belajar bahasa Mandarin agar lebih memudahkan berkomunikasi.

"Peminat di China dihubungkan melalui laman sosial Douban dan segala perkembangan terkini One Buck Short mereka sendiri akan maklumkan melalui rangkaian itu," terang Mooky akan visi One Buck Short.

Duet Hero Malaya

Diusik juga seandainya diberikan pilihan untuk berduet dengan mana-mana artis tempatan, One Buck Short lekas membariskan beberapa nama di hadapan penulis.

Kata mereka,: "Mestilah kami memilih hero-hero Malaya yang cukup disegani seperti Zainal Abidin dan Ramli Sarip. Tapi terfikir juga kadang-kadang untuk cuba berduet dengan Stacy atau Sharifah Aini dalam beberapa buah lagu."

Walau bagaimanapun, mereka sedikit terkilan disebabkan protokol sesetengah pihak sebelum berkolaborasi dengan beberapa penyanyi berbakat tanah air.

"Kalau berjaya kolaborasi yang kami inginkan ini, hasilnya sudah tentu akan meletup!," pintasnya mengakhir bualan.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: