Wednesday, October 12, 2011

KUB menang kontrak KLIA2

MOHD NAZAR...16 bulan untuk disiapkan
MOHD NAZAR...16 bulan untuk disiapkan

KUB Malaysia Berhad (KUB) menerusi anak syarikatnya, KUB Builders Sdn Bhd memenangi kontrak bernilai RM268.8 juta daripada Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB) bagi membangunkan sebahagian daripada terminal penerbangan tambang murah baru, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (KLIA2).

Pengarah Urusan Kumpulan KUB, Datuk Mohd Nazar Samad berkata, KUB Builders akan membina landasan lapangan terbang ketiga sepanjang 3.96 kilometer, laluan teksi selari, laluan teksi berhubung dan kerja bersekutu lain yang dijangka mengambil masa 16 bulan untuk disiapkan.


“Kami memenangi kontrak selepas menerima saingan hebat daripada beberapa syarikat yang lain. Walaupun ia satu cabaran, matlamat kami untuk menyiapkan kontrak ini dalam garis masa yang diberi, pada masa sama dapat melaksanakan kerja binaan dengan baik dalam semua aspek.

“Kami sangat teruja menjadi sebahagian daripada mereka yang berusaha menjadikan Kuala Lumpur sebagai hab penerbangan kerana ia akan menjadi hab kos rendah terbesar di rantau ini. Kumpulan kami menyokong sepenuhnya agenda kerajaan untuk meningkatkan lagi sektor pelancongan Malaysia apabila ia akan memberi sumbangan penting kepada ekonomi negara,” katanya dalam kenyataan di Kuala Lumpur semalam.


Projek ini akan mengukuhkan lagi perniagaan KUB dalam sektor operasi Hartanah, Kejuruteraan dan pembinaan sekali gus menguatkan kedudukan KUB dalam pasaran dan terus mempelbagaikan portfolio mereka serta kebolehan mencari projek yang sama pada masa akan datang.


KUB Builders adalah kontraktor Bumiputera yang mempunyai kemahiran dalam Sistem Binaan Berindustri (IBS) kelas A yang premier di Malaysia, memiliki kemudahan dalaman untuk membuat komponen cerucuk bangunan dan infrastruktur.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: