Sunday, October 2, 2011

Koleksi di ruang tamu


Ruang tamu rumah teres dua tingkat berubah menjadi sebuah galeri.


BUKAN mudah untuk menata ruang tamu yang agak sempit apatah lagi jika pelbagai barangan mahu dimuatkan di situ. Namun dengan sentuhan serta kreativiti, Fuzidah Muda mampu mengubah ruang tamu yang terhad keluasannya menjadi butik kecil yang senang mata memandang.

Pemilik Hannah Gallery itu sememangnya cintakan keindahan. Baginya, kreativiti serta kesungguhan menjadi sentuhan ajaib menukar penampilan sesuatu ruang kelihatan lebih menarik.

Mahu mencuba kelainan dalam menguji sentuhan kreativitinya, ibu kepada tiga cahaya mata itu menggabungkan kemahiran menata hias ruang dengan minat barunya untuk berniaga.

Pengalamannya dalam bidang menggubah hantaran dan menyusun atur bunga-bungaan menguatkan lagi semangat mahu menjadikan rumahnya sebuah galeri untuk semua.

Maka lahirlah Hannah Gallery - menggunakan ruang tamu rumah teres dua tingkat milik Fuzidah di Seksyen 3, Bandar Baru Bangi, Selangor.

fesyen

Pada usia 48 tahun, beliau masih bergaya sambil mengakui bahawa minatnya terhadap fesyen sememangnya bermula sejak remaja lagi. Pernah terlibat dalam industri pelancongan, Fuzidah turut menggabungkan pengalamannya ke pelbagai tempat untuk memilih barangan berkualiti, berharga sederhana dan paling penting disukai ramai.

''Saya tidak suka cincai. Bagi saya setiap benda yang kita buat mesti ada nilainya,'' katanya.

Melangkah masuk ke galeri tersebut, kelihatan deretan koleksi pakaian digantung kemas. Biar pun koleksi di situ amat pelbagai - daripada baju kurung, blaus moden, dress, jeans, legging dan pelbagai lagi - namun Fuzidah percaya penataan warna dinding memainkan peranan penting untuk mengelak pandangan yang sarat. Warna hijau dan kuning lembut menjadi pilihan untuk 'menyejukkan' koleksi pakaian yang rencam warnanya. Lebih-lebih lagi cita rasa Fuzidah dan rakan kongsinya Maslinda Mistam amat serupa - menyukai pakaian berwarna terang yang pasti dapat menyerlahkan penampilan seseorang.

suasana

Untuk menimbulkan suasana selesa, sebuah sofa dua tempat duduk diletak di tengah ruang tamu. Warna putih sofa berjaya mengimbangi warna-warni koleksi di ruang tamu itu. Membelek satu persatu pakaian yang diperagakan di situ, harus diakui cita rasa kedua-dua wanita itu sememangnya hebat. Jenama antarabangsa menjadi ilham untuk menghasilkan rekaan menarik. Mementingkan sumber tempatan, Fuzidah membeli sendiri kain dan meletakkan kepercayaan kepada tukang jahit pilihannya untuk merealisasikan fesyen idamannya. Di sudut bersebelahan tangga ke ruang atas, tudung pelbagai rekaan disusun. Menarik dan pelbagai sehingga terlupa kita berdiri di ruang yang sempit. Mengetengahkan konsep Muslimah anggun bergaya, Maslinda percaya menutup aurat tidak sepatutnya membataskan penampilan wanita. Sebab itu pemilihan tudung serta anak tudung di galeri tersebut mempunyai keistimewaan tersendiri, malah jubah-jubah yang diperagakan mendapat sentuhan manik dan menggunakan kain bermutu tinggi.

''Ramai orang tidak percaya kepada pakaian tanpa corak terutama mereka yang berbadan besar. Namun bagi saya kreativiti menyusun dan menjahit manik mampu mencipta keunikan tersendiri,'' kata Maslinda.

Di satu sudut sebuah rak menempatkan kotak dan bakul hamper, kebanyakannya berwarna lembut. Fuzidah yang sememangnya mahir dalam seni gubahan baik hantaran mahu pun bunga semestinya mahu menonjolkan 'kepakarannya' itu di ruang galeri istimewa tersebut.

Lili dan ros menjadi pilihan malah dia sememangnya menggilai kedua-dua bunga itu. Sejambak lili digubah indah di dalam pasu besar menambah seri ruang. Warna putih kehijauan, lili menyegarkan pandangan mata yang sebelum itu rambang melihat pelbagai koleksi di situ. Di atas sebuah meja bulat, lili dan ros digabungkan menambah persona minda sekali gus menghidupkan suasana yang agak sunyi di kawasan perumahan tersebut.

Susunan pelbagai aksesori juga memukau mata. Anting-anting, rantai leher dan tangan, pengikat rambut dengan rekaan unik dan tersendiri menjadikan koleksi di Hannah Gallery tidak boleh dilepaskan begitu sahaja.

Fuzidah dan Maslinda turut menawarkan jahitan manik, batu dan lace untuk kasut bagi menonjolkan kelainan kepada si pemakai. Tidak lengkap jika penampilan wanita tanpa sentuhan mekap baik untuk ke pejabat mahu pun majlis keraian termasuk buat pasangan yang bakal mendirikan rumah tangga. Khidmat andam ada disediakan. Bagi wanita yang gemar mekap ringkas dan ingin belajar menata rias diri, kelas solekan ditawarkan pada harga berpatutan.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: