NAJIB menyaksikan pertukaran dokumen antara Ketua Eksekutif MTC, Norhalim Yunus (dua dari kanan) dan Pengerusi Agensi Pelaburan Indonesia, Soritaon Siregar di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur, semalam.
MALAYSIA dan Indonesia akan menubuhkan sebuah dana modal teroka dikenali sebagai Dana Serantau bagi memenuhi keperluan pembiayaan modal syarikat teknologi di Asia Tenggara.
Meskipun saiz dana berkenaan belum dimuktamadkan, namun dana yang akan dibiayai secara bersama oleh kedua-dua negara itu, menyasarkan membiayai kumpulan usahawan yang memiliki perniagaan berasaskan teknologi dengan potensi pertumbuhan tinggi dan mampan.
MTDC dalam kenyataannya mengenai inisiatif itu berkata, rasional penubuhan dana itu bersandarkan faktor bahawa Malaysia dan Indonesia memiliki gabungan penduduk berjumlah 300 juta yang mana ia secara tidak langsung boleh mewujudkan sebuah pasaran penting selepas China dan India di rantau ini.
“Tambahan lagi, Malaysia yang kini bergerak menuju ekonomi berasaskan inovasi sementara Indonesia pula memiliki potensi pasaran yang besar, mampu menggabungkan sumber dari segi modal, pengetahuan dan rangkaian perniagaan untuk memanfaatkan peluang keperluan ekonomi kedua-dua negara dan termasuk negara anggota Asean yang lain,” katanya.
MTDC berkata, penubuhan dana itu akan membantu melonjakkan lagi sektor perniagaan berteknologi tinggi kerana ia tidak hanya menumpu kepada bidang teknologi komunikasi dan maklumat, malah merangkumi bioteknologi, tenaga diperbaharui dan teknologi berasaskan bio pertanian yang kini amat memerlukan bantuan modal serta sumber untuk mengeksploitasikan lagi perniagaan baru itu.
Terdahulu, Najib dalam ucaptamanya pada simposium itu menyeru institusi kewangan dan syarikat modal teroka tidak hanya menumpukan pelaburan dalam perniagaan berasaskan ICT, malah mengembangkan skop pembiayaan meliputi bidang perniagaan berteknologi tinggi, khususnya teknologi berasaskan nano, sains hayat, tenaga diperbaharui serta minyak dan gas.
Katanya, semua teknologi berkenaan dikenal pasti mampu menjadi sumber janaan utama pertumbuhan ekonomi.
Sementara itu, pada majlis semalam, Najib turut menyaksikan MoU antara MTDC dengan Export-Import Bank of Malaysia Bhd yang bertujuan mewujudkan kerjasama bagi memudahkan perkongsian maklumat serta membantu Perusahaan Kecil dan Sederhana tempatan mengukuhkan aktiviti perniagaan rentas sempadan.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: