JING YI antara pemain yang turut mencipta kejutan melangkah ke perlawanan akhir pada GP Akhir Kebangsaan. |
PEMAIN perseorangan negara, Goh Soon Huat melakar sejarah tersendiri apabila buat pertama kali mara ke final Kejohanan Badminton Grand Prix (GP) Akhir Sirkit Kebangsaan 2011.
Kejayaan itu hadir selepas Soon Huat tampil dengan prestasi cukup konsisten untuk membenam cabaran Chong Wei Feng pada aksi separuh akhir yang berlangsung di Stadium Juara, Bukit Kiara semalam.
Meskipun tewas 13-21 pada set pertama, Soon Huat kembali bangkit apabila mencatatkan kemenangan pada dua set berikutnya 21-18, 21-14 sekali gus memastikan slot beraksi pada pentas final menjadi miliknya.
Sebagai rekod, ia merupakan kemenangan pertama Soon Huat ke atas Wei Feng setelah tewas dalam tiga pertemuan sebelum ini.
"Saya tewas sebanyak tiga kali
di tangan Wei Feng, jadi saya sudah tahu corak permainannya serba sedikit.
"Saya hanya menikmati keseronokan pada perlawanan tadi (semalam). Tahap keyakinan saya tinggi dan saya sudah bersedia daripada aspek stamina. Itu faktor utama atas kejayaan saya menewaskan Wei Feng," kata Soon Huat ketika ditemui pemberita sejurus tamat perlawanan semalam.
Bagaimanapun, Soon Huat bakal berdepan halangan sukar pada final hari ini apabila diramal berdepan jaguh perseorangan negara, Datuk Lee Chong Wei.
Chong Wei menang 21-10, 21-14 ke atas Misbun Ramdan Misbun dalam satu lagi pertemuan separuh akhir yang berlangsung lewat malam tadi.
"Jika saya berdepan Chong Wei saya akan cuba memberikan persembahan terbaik saya," tambah Soon Huat.
Sementara itu, dalam acara perseorangan wanita, juara bertahan, Tee Jing Yi mudah mara ke pentas final selepas mencatatkan kemenangan ke atas Julia Wong 21-5, 21-14 pada aksi separuh akhir semalam.
Pada aksi final hari ini, Ji Ying bakal berdepan Lydia Cheah yang turut mara selepas membenam cabaran Sonia Cheah 21-18, 21-16.
Dalam acara beregu campuran, pilihan utama, Chan Peng Soon-Goh Liu Ying akan turun menentang Tan Wee Kiong-Woon Khe Wei pada aksi final hari ini.
Peng Soon-Liu Ying mara selepas menewaskan gandingan Tan Aik Quan-Lai Pei Jing 21-12, 21-15 manakala Wee Kiong-Khe Wei mengatasi Mak Hee Chun-Lim Yin Loo 21-18, 21-17.
Turut berlangsung semalam pertemuan separuh akhir dalam kategori beregu lelaki dan wanita.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: